PEMILIHAN syarikat telekomunikasi U Mobile Sdn Bhd untuk mengendalikan rangkaian 5G kedua dibuat atas pelbagai faktor, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, antara faktor yang diambil kira ialah rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan, serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
“Ini termasuk sumbangan memberangsangkan kepada projek Penyedian Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen SKMM untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan,” kata kenyataan itu hari ini.
SKMM berkata, melalui pemillhan tersebut, tanggungjawab pengawalseliaan terhadap U Mobile boleh dikuatkuasakan mengikut pematuhan yang telah ditetapkan.
Katanya, jika terdapat ketidakpatuhan, penalti akan dikenakan.
“U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian 5G kedua, dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem yang lain tertakluk kepada kelulusan SKMM,” kata kenyataan itu.
Katanya, SKMM akan sentiasa menilai kerjasama tersebut untuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua rakyat Malaysia.
“SKMM sedia maklum pegangan saham asing semasa yang dimiliki oleh U Mobile Sdn Bhd.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemegang lesen untuk memaklumkan SKMM akan sebarang perubahan pegangan saham asing syarikat,” katanya.
Dengan penubuhan rangkaian 5G kedua tersebut, SKMM berkata, pihaknya membuka jalan untuk fleksibiliti dan keterangkuman perkhidmatan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
Perkembangan ini jelas beliau, menggalakkan persingan dan mengukuhkan ketahanan industri serta membolehkan rakyat Malaysia menikmati sambungan berkelajuan tinggi pada harga yang berpatutan.
“SKMM akan terus memantau standard kualiti dalam kalangan semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan landskap telekomunikasi yang kukuh dan boleh dipercayal untuk masa depan negara,” katanya.
Sebelum ini pelbagai pihak mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan lesen perkhidmatan 5G kepada U Mobile sedangkan pemilikan sahamnya didakwa dikuasai oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negara jiran. – Edisi 9