SELAYANG Mall milik AmanahRaya Real Estate Investment Trust (REIT) melancarkan Minggu Alam Sekitar 2024 pertamanya sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjuarai kelestarian alam sekitar.
Pusat beli belah yang diuruskan oleh Knight Frank Malaysia (Knight Frank) telah mengumpulkan lebih 3,000 pengunjung, termasuk keluarga, kumpulan komuniti tempatan dan peminat ekosistem, semuanya komited untuk meraikan dan mempelajari tentang pemuliharaan alam sekitar.
Acara selama seminggu itu menawarkan pameran interaktif, demonstrasi langsung dan bengkel pendidikan, menjadikannya platform utama untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam komuniti Selayang secara khasnya.
Disokong oleh Majlis Perbandaran Selayang, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan 99 Wonderland Park, Minggu Alam Sekitar menyaksikan penglibatan sekolah, organisasi swasta dan penyokong komuniti.
Turut hadir memeriahkan majlis Pengarah Urusan AmanahRayq-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM) Tunku Rozita Tunku Abdul dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Ismail Parlan.
Pengurus Pusat Selayang Mall, Benoit Cazun berkata, Minggu Alam Sekitar Selayang Mall mewakili komitmen mereka untuk memberi inspirasi kepada perubahan positif.
“Perhimpunan ini menunjukkan perkara yang mungkin apabila komuniti kita bersatu untuk tujuan yang sama. Matlamat kami bukan sahaja untuk mempromosikan perlindungan alam sekitar tetapi juga untuk meletakkan Selayang sebagai lokasi yang mesti dikunjungi dengan tarikan yang meriah,” katanya hari ini.
Beliau menambah pihaknya meluaskan inisiatif melalui sumbangan besar sebanyak RM16,000 sebagai bekalan penting kepada kanak-kanak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang, menggariskan komitmen yang lebih luas Selayang Mall terhadap kelestarian sosial dan alam sekitar.
Kejayaan Minggu Alam Sekitar Selayang Mall menandakan satu langkah penting untuk tindakan alam sekitar yang dipacu komuniti.
Penganjur berhasrat untuk terus membina momentum, mencipta legasi berkekalan yang menggalakkan hubungan yang lebih mendalam dengan alam semula jadi dan amalan mampan di seluruh Selayang. – Edisi 9