JABATAN Meterologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fasa Peralihan Monsun bermula semalam (Khamis) akan berterusan sehingga pertengahan Mei depan.
Menurut jabatan itu lagi, permulaan fasa itu sekali gus menandakan Monsun Timur Laut yang bermula 7 November lalu sudah berakhir.
“Ketika fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia,” katanya dalam Facebook hari ini.
Ujar MetMalaysia lagi, keadaan itu amat sesuai untuk berlakunya ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang yang menyeluruh dalam jangka masa singkat pada petang hingga awal malam.
Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak menjelang tengah hari nanti.
“Antara kawasan yang dijangka adalah di daerah Miri (Subis dan Miri) kerana terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Sehubungan itu, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
-EDISI9

