SEORANG wanita warga emas maut manakala suaminya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang selepas keracunan makanan akibat makan ikan buntal.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, wanita berusia 83, dan suaminya 84 itu telah mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pratempahan melalui Facebook.
“Selepas menerima ikan tersebut pada Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan ini adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan ikan buntal.
“Bagaimanapun, mangsa wanita mula mengalami kesukaran bernafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya mula menunjukkan simptom yang sama.
“Anak lelaki mereka, yang tinggal di rumah berbeza membawa mereka ke unit kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom untuk rawatan perubatan.
“Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 7 malam manakala suaminya masih menerima rawatan di ICU,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, daripada siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.
Katanya, penjual ikan buntal yang berasal dari Batu Pahat akan menghantar kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.
“Sebanyak 15 kilogram ikan sudak dijual kepada masing-masing empat pelanggan di Chamek dan Paloh, dan seorang di Yong Peng pada hari itu.
“Selain pasangan terbabit, pelanggan lain belum memakan ikan buntal itu,” katanya.
Kata Tian Soon, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat sudah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang dibeli dari penjual berkaitan untuk dihantar ke makmal bagi dianalisa.
Jelas beliau, sehingga kini tiada lagi pelaporan baru berkaitan dengan ikan buntal.
“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang diketahui,” katanya. – Edisi 9