24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Guna dokumen meragukan, 7 PATI ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

EMPAR lelaki dan tiga wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar telah ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang pagi semalam.

Pemeriksaan dibuat pihak penguatkuasa pada kedudukan 1.08 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 9.45 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, mereka didapati menaiki feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah tanpa membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati mereka hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan.

Advertisements

“Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

“Jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan.

“Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan