KISAH seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Noorazlan Ismail yang sanggup berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) dari tol Skudai, Johor Bahru menuju ke Istana Negara untuk memperjuangkan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat perhatian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurut Hamzah, menyelami kisah Noorazlan, rakyat mahukan pemimpin yang membela nasib mereka bukannya pemimpin yang berlakon sepanjang masa.
Justeru, kata Ahli Parlimen Larut itu, pengeluaran KWSP secara bersasar sentiasa menjadi agenda perjuangan Perikatan Nasional (PN).
“Saya tahu ramai rakyat di luar sana yang terdesak dan amat-amat memerlukan pengeluaran simpanan KWSP. Mereka juga dalam kesusahan dan kepayahan sepertimana Noorazlan ini.
“Sebab itu pengeluaran KWSP bersasar menjadi agenda perjuangan PN. Kami angkat denyut nadi dan suara hati rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan KWSP ditunaikan kerajaan, tetapi sayangnya dibalas sinis Perdana Menteri Ke-10.
“Perjuangan rakyat jangan dipandang sebelah mata. Dengarlah rintihan rakyat yang berjalan kaki ratusan kilometer ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Terdahulu, tular di media sosial kisah seorang lelaki dikenali Norazlan sanggup berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai menuju ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di laman aplikasi TikTok, beliau turut berkongsi sepanjang perjalanannya, Noorazlan tidak berputus asa untuk terus berjalan kaki meskipun kakinya melecet akibat berjalan terlalu lama.
Malah, beliau terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cuaca hujan semata-mata di beberapa kawasan untuk menyampaikan hasratnya itu kepada kerajaan.
Jelas lelaki itu, beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi memperjuangkan misi tersebut untuk menampung kehidupan bagi perbelanjaan harian selain menanggung hutang.
Tambahnya, pengeluaran KWSP itu adalah sebagai usaha untuk menyelamatkan rumah tangganya. – Edisi 9