BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau tidak akan merayu selepas dipecat daripada parti itu semalam.
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau kini adalah Ahli Parlimen Bebas dan tidak mahu mendengar segala perkara yang terpaksa dilakukan tanpa kerelaan hatinya dalam Bersatu.
“Tidak payah lagi saya dengar perkara yang mungkin terpaksa saya lakukan tanpa kerelaan hati.
“Kalau diarah untuk melakukan sesuatu yang saya tidak ingini, susahlah saya.
“Lebih baik saya jadi Ahli Parlimen Bebas,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), hari ini.
Menyentuh mengenai hala tujunya selepas dipecat, Ahli Parlimen Larut itu berkata, beliau bakal mempunyai ‘rumah baharu’.
Bagaimanapun, beliau masih berteka-teki sama ada ‘rumah baharu’ itu membabitkan penubuhan sebuah parti atau menyertai parti ‘lama’ di negara ini.
Hamzah juga tidak menolak kemungkinan khabar angin pihaknya akan mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
“Kalau khabar angin itu jadi betul, betullah. Tapi kalau khabar angin itu hanya lepas begitu saja, tidaklah.
“Ada kemungkinan (benar) dan juga ada kemungkinan tidak kerana ada opsyen lain,” katanya.
Semalam, Lembaga Disiplin BERSATU dilapor telah memecat keahlian Hamzah.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

