Tuesday, July 21, 2026

Wanita 18 tahun hidup sengsara di Lombok diselamatkan

Usaha membawa pulang Norida digerakkan selepas keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong, Perak memaklumkan keadaan wanita tersebut...

Mesti Baca

SELEPAS 18 tahun terpisah daripada keluarga, seorang wanita rakyat Malaysia, Norida Akmal Ayob, akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air bersama anak perempuannya menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Kepulangan wanita malang itu hasil kerjasama erat antara Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia termasuk jabatan imigresennya.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, usaha membawa pulang Puan Norida digerakkan selepas keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong, Perak memaklumkan keadaan wanita tersebut yang dilaporkan hidup dalam serba kekurangan di Lombok, Indonesia.

Beliau berkata. Norida Akmal sebelum ini mengikuti suaminya, seorang warga Indonesia, ke Lombok dan menetap di sana.

“Perkahwinan dia tidak kekal dan akhirnya hidup sendirian, susah dan daif, mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain,” katanya.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, anak-anak Norida Akmal juga dilaporkan tidak dapat meneruskan persekolahan dan berada dalam keadaan terbiar.

Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima, pihaknya segera menghubungi Wisma Putra dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memulakan proses dokumentasi serta urusan membawa pulang.

“Saya telah menghantar Pegawai saya yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud ke Lombok Indonesia bersama Setiausaha Sulit saya ke Lombok bagi urusan membawa pulang.

“Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air,” katanya.

Difahamkan, Norida mempunyai dua orang anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan merupakan warganegara Malaysia, serta Muhamad Sabani Daniel yang lahir di Indonesia dan berstatus warganegara Indonesia.

Shamsul Anuar berkata, pihaknya akan membantu menyelaras tindakan susulan termasuk urusan dokumentasi dan kebajikan keluarga berkenaan bagi memastikan mereka dapat memulakan kehidupan baharu di tanah air.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan misi membawa pulang rakyat Malaysia itu berjaya dilaksanakan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan