Tuesday, July 21, 2026

Malaysia konsisten tolak dominasi kuasa besar – Shamsul Anuar

Keamanan sejati tidak akan dapat dicapai melalui kuasa ketenteraan atau pembentukan pakatan blok.

Mesti Baca

MALAYSIA mengekalkan pendirian tegas untuk terus memperjuangkan konsep keselamatan global yang adil, inklusif dan bebas daripada sebarang bentuk dominasi kuasa besar, dalam usaha membina dunia yang lebih aman dan sejahtera.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Plenari bertajuk Shaping Architecture of Equal and Indivisible Security: Challenges and Opportunities for States of Global South and East, sempena 13th International Meeting of High Representatives for Security Matters (HROSM) di Moscow, Rusia hari ini.

Persidangan berprestij yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov itu menghimpunkan wakil daripada 114 buah negara, manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin, turut menyampaikan ucapan perasmian secara maya.

Dalam ucapannya, Shamsul Anuar menegaskan, keamanan sejati tidak akan dapat dicapai melalui kuasa ketenteraan atau pembentukan pakatan blok.

Sebaliknya beliau berkata, ia hanya dapat dicapai melalui kerjasama berterusan, dialog terbuka dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Malaysia komited terhadap prinsip keselamatan yang saksama, merangkumi keadilan sosial, keselamatan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kebajikan rakyat,” katanya dalam ucapan tersebut.

Beliau turut mengangkat prinsip ASEAN Centrality dan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) sebagai asas penting kepada kestabilan rantau Asia Tenggara yang kini semakin strategik dalam persaingan geopolitik dunia.

Shamsul Anuar turut menggesa reformasi menyeluruh ke atas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan suara negara membangun, khususnya dari rantau Selatan Global, diberi perhatian dan peranan yang lebih saksama dalam menentukan arah tuju dunia.

Malaysia, katanya, menyokong penuh pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan, khususnya dalam menangani isu bersama seperti keselamatan siber, bencana alam dan kesihatan awam.

“Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi yang setara kepada semua negara demi membentuk masa depan dunia yang lebih adil dan sejahtera,” ujar beliau.

Persidangan keselamatan antarabangsa anjuran Rusia itu menjadi medan penting bagi negara-negara membangun menyuarakan pandangan serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan global masa kini. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan