Monday, July 20, 2026

Terbuka Singapura: Hanya Aaron-Wooi Yik lepasi halangan

Walaupun mempertaruhkan lima beregu dan satu perseorangan lelaki di peringkat suku akhir hari ini, namun lain-lain pemain ditunjukkan jalan pulang oleh lawan masing-masing.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MALAYSIA kini mengharapkan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memburu gelaran kejohanan badminton Terbuka Singapura ketika rakan-rakan lain tersekat di peringkat suku akhir.

Aaron-Wooi Yik bukan hanya menjadi wakil tunggal negara menempah slot ke separuh akhir, tetapi juga berjaya membalas dendam ke atas rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Mun.

Beregu No 3 dunia itu berjaya menundukkan Wei Chong-Kai Mun, beregu ketiga negara yang menewaskan mereka pada perlawanan akhir Masters Malaysia minggu lalu dengan 22-20, 21-17 dalam masa 33 minit.

Walaupun mempertaruhkan lima beregu dan satu perseorangan lelaki di peringkat suku akhir hari ini, namun lain-lain pemain ditunjukkan jalan pulang oleh lawan masing-masing.

Beregu yang baru menduduki ranking No 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal mengatasi pasangan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty apabila tewas 17-21, 15-21.

Pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula disekat oleh pasangan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand, 21-19, 20-22, 17-21 dalam kategori beregu campuran.

Manakala Pearly Tan-M. Thinaah pula terpaksa akur kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dengan 21-14, 22-24, 14-21 dalam masa 1 jam 13 minit.

Sementara wakil tunggal negara dalam perseorangan lelaki, Leong Jun Hao pula tidak berupaya untuk menghadapi cabaran pemain utama Thailand, Kunvalut Vitidsarn.

Pemain No 2 dunia itu mengetepikan Jun Hao 21-13, 21-11 dalam masa 47 minit.

Esok Aaron-Wooi Yik akan dicabar oleh Rankireddy-Shetty bagi mencari satu slot ke perlawanan akhir dalam Siri Super 750 itu. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan