31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Guan Eng saman Muhyiddin isu cukai Yayasan Albukhary

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau dikaitkan membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Saman tersebut difailkan Guan Eng selaku plaintif menerusi firma guaman Tetuan Guok Partnership di Mahkamah Tinggi hari ini dengan menamakan Presiden Bersatu itu sebagai defendan tunggal.

Guan Eng dalam pernyataan tuntutannya berkata, Muhyiddin telah memfitnah beliau dalam laman Facebook miliknya selepas dibebaskan daripada tahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu.

Kenyataan fitnah yang dirujuk Guan Eng membawa maksud beliau selaku Menteri Kewangan di zaman Pakatan Harapan tahun 2018 hingga 2020 telah membatalkan pengecualian cukai yang diluluskan kepada Yayasan Al-Bukhary.

Kata Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat kerana Muhyiddin mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar tertumpu kepadanya, oleh itu ia bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam.

Advertisements

Mantan Ketua Menteri Pulang Pinang itu turut mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama, diikuti 11 dan 12 Mac lalu menerusi Facebook miliknya serta kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Di samping itu, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan selaku Menteri Kewangan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Al-Bukhary serta dirinya, selain sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.

Oleh itu, Guan Eng menuntut Muhyiddin mengemukakan pemohonan maaf dan menarik balik atas segala dakwaan yang telah dibuat. 

Permohonan tuntutan juga merangkumi ganti rugi am, teruk dan punitif yang akan ditentukan oleh mahkamah serta perintah injunksi menghalang Muhyiddin atau ejennya daripada mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah atau apa-apa perkataan fitnah yang serupa. – EDISI9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan