27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

4 bot nelayan Vietnam dilucut hak, dilupus

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan melupuskan empat lagi bot nelayan asing Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak 5.3 batu nautika daripada Kuala Besar, Kota Bharu pada 21 Mac lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kesemua bot yang ditenggelamkan merupakan bot yang telah ditahan dalam Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damaipada tahun 2021 dan 2022.

“Penahanan empat bot ini turut melibatkan tahanan ke atas 11 kru termasuk tekong warga Vietnam dengan rampasan empat bot dan sejumlah 7,500 liter diesel termasuk peralatan navigasi serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai lebih RM 4.05 juta.

“Kesemua kru termasuk tekong disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, tekong turut didapati bersalah di bawah Seksyen 16(3) kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel ketika memasuki perairan Malaysia. Kesemuanya dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Nilai denda mahkamah bagi kesemua yang ditahan berjumlah RM 11.2 juta namun kesemua kru bot dan tekong memilih untuk dipenjarakan. Tempoh hukuman penjara antara tiga hingga lapan bulan,” katanya.

Ujar beliau, tahun ini sahaja, sebanyak 11 buah bot telah dilupuskan secara tenggelam untuk dijadikan tukun tiruan di perairan negeri Kelantan.

“Proses penenggelaman bot ini mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) di bawah Jabatan Perikanan Malaysia untuk memastikan tukun bot ini sesuai menjadi tempat pembiakan ikan,”katanya.

Katanya, Maritim Negeri Kelantan sentiasa tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di perairan negeri Kelantan khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan perairan negara terpelihara.

“Maritim Negeri Kelantan akan sentiasa berusaha memastikan perairan negeri Kelantan sentiasa selamat kepada komuniti maritim,” ujar beliau.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan