30.5 C
Kuala Lumpur
Monday, July 22, 2024

Nasib 476 banduan tertakluk RUU mansuh hukuman mati

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 476 orang banduan hukuman mati yang belum selesai proses rayuan di peringkat mahkamah akan tertakluk kepada Rang Undang-undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 setelah ia berkuatkuasa kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu merupakan dasar keenam yang terkandung dalam RUU tersebut, hasil inisiatif yang telah diteliti, dikaji dan dipertimbangkan oleh kerajaan sejak 2012.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan telah beranjak ke arah pemansuhan hukuman mati bagi enam kesalahan tertentu dalam perundangan di negara ini.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan menghormati nyawa setiap individu, pada masa yang sama, memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua pihak termasuk mangsa-mangsa pembunuhan, kes-kes yang melibatkan pengedaran dadah serta keluarga mangsa-mangsa.

“Oleh itu, dasar-dasar yang dicadangkan melalui RUU ini merupakan satu jalan tengah untuk memastikan keadilan dipelihara bagi semua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Jemaah Menteri bersetuju dengan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Berikutan persetujuan Jemaah Menteri, bacaan kali pertama RUU berkenaan telah dibuat dalam sidang Dewan Rakyat dan bacaan kali kedua dijangka pada sidang ini juga.

Satu taklimat berkenaan perkara ini juga akan diadakan esok bagi semua Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan blok pembangkang bersama dengan Ahli-ahli Dewan Negara.

Azalina memberitahu, RUU yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat itu melibarkan pindaan terhadap Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37], Akta Senjata 1960 [Akta 206], Akta Penculikan 1961 [Akta 365], Akta Dadah Berbahaya 1952[Akta 234], Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708] dan Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi dasar pertama berkaitan penghukuman untuk 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, beliau berkata, jika kesalahan menyebabkan kematian (bagi Seksyen 130C, 130I, 130N, 130O, 130QA, 130ZB, 302, dan 374A Kanun Keseksaan), mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara minimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

“Jika kesalahan tidak menyebabkan kematian (bagi Seksyen 3 dan 3A, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37]), mahkamah hanya boleh menjatuhkan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

“Walaubagaimanapun, dasar ini tidak terpakai untuk 121A Kanun Keseksaan di mana walaupun kesalahan ini tidak menyebabkan kematian, hukuman mati masih dikekalkan dan tergantung kepada budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan,”katanya.

Azalina menambah, terma ‘pemenjaraan sepanjang hayat’ akan digugurkan daripada semua akta berkaitan.

Berhubung dasar kedua mengenai penghukuman untuk 10 kesalahan di bawah budi bicara mahkamah melibatkan seksyen 14 Akta Senjata 1960 [Akta 206], seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37], seksyen 121 Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 307(2) Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 364 Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 3 Akta Penculikan 1961 [Akta 365] dan seksyen 9, seksyen 10, seksyen 11 dan seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708], beliau berkata, hukuman mati di bawah budi bicara mahkamah sedia ada dimansuhkan.

“Ia digantikan dengan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 6 kali sebatan bagi seksyen 14 Akta Senjata 1960 [Akta 206]; dan seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37],” katanya.

Advertisements

Azalina berkata, hukuman mati di bawah budi bicara mahkamah dikekalkan dan hukuman pemenjaraan sedia ada digantikan dengan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun bagi seksyen 121 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Menurut beliau, terma ‘pemenjaraan sepanjang hayat’ digantikan dengan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun bagi sekyen 9 hingga 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708] manakala cadangan peruntukan seksyen 307(2) Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk dimansuhkan.

“Hukuman mati di bawah budi bicara mahkamah sedia ada dimansuhkan dan mengekalkan hukuman pemenjaraan tidak melebihi 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan sedia ada bagi seksyen 364 Kanun Keseksaan [Akta 574].

“Hukuman mati di bawah budi bicara mahkamah sedia ada dimansuhkan dan hukuman pemenjaraan sedia ada digantikan dengan hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi seksyen 3 Akta Penculikan 1961 [Akta 365],”katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, dasar ketiga iaitu cadangan hukuman gantian bagi seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] bertujuan mengubah bilangan sebatan daripada minimum 15 kali kepada minimum 12 kali jika hukuman mati tidak dijatuhkan dan subseksyen 2A dan 2B dimansuhkan.

Di bawah dasar keempat, kata beliau, sebanyak 12 kesalahan lain di bawah budi bicara mahkamah dikekalkan hukuman sedia ada.

Dasar tersebut melibatkan seksyen 132 Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 194 Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 305 Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 376(4) Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 396 Kanun Keseksaan [Akta 574], seksyen 38 Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77] dan seksyen 41 Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

Peruntukan undang-undang lain yang turut terlibat adalah seksyen 47 Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77], seksyen 48 Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77]; seksyen 88(3)(a) Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77], seksyen 88(3)(b) Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77] dan seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

Beliau memberitahu, dasar kelima pula adalah mengenai pemberian bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula hukuman suatu akta baharu.

“RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 diperkenalkan,” katanya.

Azalina menjelaskan, RUU tersebut merangkumi perkara seperti memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula kes (reviewing) 840 banduan hukuman mati termasuk 25 banduan yang telah ditolak rayuan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

Menurut beliau, sekiranya mahkamah mengekalkan hukuman sedia ada selepas kajian semula hukuman, banduan masih boleh mengemukakan rayuan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Negeri.

“Permohonan mengkaji semula hukuman perlu dibuat dalam tempoh 90 hari daripada tarikh kuat kuasa akta ini dan mahkamah boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh untuk mengemukakan permohonan kajian semula hukuman tertakluk alasan yang munasabah.

“Permohonan kajian semula hukuman hanya boleh dikemukakan sekali sahaja,” jelasnya.

Ujar beliau, akta baharu itu juga terpakai bagi 117 banduan yang sedang menjalani pemenjaraan seumur hayat iaitu 47 banduan yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan 70 banduan hukuman mati yang diberi peringanan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Negeri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

6 syarikat pemula tempatan terima pelaburan lebih RM750,000

SEBANYAK enam syarikat pemula (startup) telah dipilih untuk menerima pelaburan berjumlah RM750,000 daripada firma modal teroka, Nexea. Kesemua syarikat terbabit...

Lagi Artikel Berkaitan