30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Dua rakan terlepas hukuman mati edar dadah di Skudai

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

Mahkamah Tinggi Johor hari ini melepas dan membebaskan dua rakan daripada hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah pusat beli-belah di Skudai pada 2020.

Keputusan itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat terhadap Effy Sharaffi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27 setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes itu di akhir pendakwaan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu berhadapan dengan pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan berat kasar 455 gram di tempat letak kereta di tingkat dua pusat beli-belah Skudai Parade kira-kira 6 petang pada 16 Julai 2020.

Mereka didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika bersalah.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Advertisements

Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, rantaian bukti terhadap barang kes itu terputus selepas pihak pendakwaan tidak dapat memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala Effy Sharaffi diwakili peguam, Nur Helmi A Halim dan Indra Ironi diwakili peguam, Mohd. Tarmeze Mohd. Taib dan Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Dalam pada itu, Noor Hayati turut memerintahkan Effy Sharaffi untuk membela diri bagi pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis ganja dengan berat bersih 10.14 gram di tempat dan lokasi yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan penjara maskimum lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Effy Sharaffi menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu ketika diperintah untuk membela diri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan