SEJUMLAH 125,169 laporan polis telah diterima berkaitan jenayah komersil sejak 1 Januari hingga 22 Oktober tahun ini.
Pengarah Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dari jumlah tersebut, 33,629 kertas siasatan telah dibuka bersamaan 27 peratus dari jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima.
“Berdasarkan 33,269 kes yang disiasat, jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM1,759,235,140.05.
“Sementara itu, dari aspek pertuduhan, sejumlah 11,903 kes atau 36 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah,”katanya menerusi kenyataan di sini.
Mengulas lanjit, katanya, sepanjang minggu kajian iaitu 16 hingga 22 Oktober 2023, sejumlah 891 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersil.
“Dari jumlah 891 ini, kes-kes jenayah komersil bersindiket mencatatkan sejumlah 620 kes bersamaan 69.6 peratus,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat empat kes melibatkan kerugian antara RM1.17 juta hingga RM7.1 juta telah dilaporkan pada awal bulan Oktober 2023.
“Tiga daripadanya adalah berkenaan penipuan pelaburan dan satu berkenaan kes penipuan Business Email Compromised.
Dalam usaha membanteras kes-kes jenayah komersil, katanya, masyarakat diingatkan untuk sentiasa cakna dengan maklumat dan informasi jenayah komersil yang dikongsikan oleh PDRM dari masa ke semasa.
“Masyarakat juga digesa untuk lebih berwaspada dan sentiasa membuat semakan yang terperinci melalui platform Semakmule CCID sebelum mengambil keputusan untuk membuat sebarang pindahan wang ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali,”ujar beliau. – Edisi 9