TERENGGANU FC bangkit daripada ketinggalan dua gol bagi mengikat kelab Filipina, Stallions Laguna, 2-2 dalam aksi Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.
Skuad bimbingan Tomislav Steinbrückner bermula dengan langkah kiri apabila ketinggalan seawal minit keenam menerusi jaringan sepakan percuma, Griffin McDaniel.
Penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin sepatutnya melakukan usaha yang lebih baik bagi menafikan gol daripada sepakan percuma tersebut.
Tersentak dengan gol tersebut, Terengganu cuba bangkit dan menguasai permainan dengan mencipta gerakan berbahaya bagi mencari gol penyamaan.
Namun, pelawat mengambil kesempatan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-40 yang menyaksikan percubaan Stallions ditepis keluar Suhaimi namun bola tersebut sampai ke kaki penyerang, Junior Ngong Sam.
Penyerang berasal dari Cameroon itu bagaimanapun tidak mempunyai masalah menolak masuk gol kedua pelawat untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Sang Penyu berjaya merapatkan jurang pada waktu kecederaan babak pertama apabila pemain sayap, Sony Norde yang tidak dikawal mudah menolak masuk sepakan Engku Nur Shakir Engku Yacob.
Anak buah Steinbrückner terus menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan dan usaha tersebut hanya berhasil di penghujung pemainan.
Ketika Stallions seakan akan pulang dengan tiga mata, penyerang import Thailand, Adisak Kraisorn muncul wira apabila menanduk masuk gol penyamaan pada waktu kecederaan bagi memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Keputusan tersebut menyaksikan Terengganu turun ke kedudukan kedua Kumpulan G di belakang kelab Australia, Central Coast Mariners yang membelasah Bali United, 6-3 dalam satu lagi aksi, petang tadi. – Edisi 9