SELEPAS menyambar penyerang berbisa Stallion Laguna dari Cameroon, Terengganu FC (TFC) menarik seorang lagi bintang import dari Brazil, Gabriel Silva Costa untuk menyertai kelab Pantai Timur tersebut.
Gabriel Silva merupakan bintang sensasi Svay Rieng FC yang mencipta pelbagai kejuaraan bersama kelab gergasi liga Kemboja tersebut sejak 2023 lalu.
Sepanjang dua musim di Kemboja, Gabi, 28, membantu kelab tersebut merangkul kejuaraan liga dua musim berturut-turut pada 2023 dan 2024 serta menjuarai Hun Sen Cup 2023.
Lebih manis, pemain ini turut tampil cemerlang di pentas antarabangsa menerusi ASEAN Club Championship dan Piala AFC, menjadikan dirinya antara aset buruan kelab serantau.
Namun, keputusannya cukup jelas.
“Terengganu FC adalah pilihan yang tepat buat saya. Saya masih ingat perlawanan menentang pasukan ini musim lalu, penyokong mereka luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas sesi menandatangani kontrak.
Untuk rekod, Gabi pernah menghancurkan harapan Terengganu FC musim lalu apabila meledak satu gol dan satu assist ketika Svay Rieng menewaskan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam saingan ASEAN Club Championship.
Kini, bekas “musuh” itu akan memakai jersi nombor 9 buat skuad kendalian Tomislav Steinbrückner, dan dijangka menjadi tonggak utama dalam misi memburu kejuaraan musim baharu.
Dengan kehadiran Gabi, penyokong TFC boleh mula berangan sesuatu yang lebih besar musim ini.
Semalam, TFC mengumumkan kehadiran Junior Ngong Sam yang sah menjadi pemain import pertama yang ditandatangani Terengganu FC (TFC) bagi musim 2025/2026.
Penyerang berbisa dari Cameroon itu tiba di bumi Terengganu selepas melepasi ujian perubatan dan kecergasan di Kuala Lumpur, sekali gus mengesahkan kehadirannya dalam skuad Penyu musim ini.
Sam, 27, bukan asing buat penyokong TFC apabila sebelum ini pernah dua kali berdepan pasukan itu dalam saingan Piala AFC bersama Stallion Laguna dari Liga Filipina dan cemerlang menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan. — Edisi 9

