SKUAD bola sepak wanita kebangsaan, Malaysian Tigress meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas tuan rumah, Tajikistan dalam aksi kedua Kumpulan H awal pagi tadi.
Beraksi di Stadium Central, Dushanbe, anak buah Joel Cornelli tampil dengan misi jelas untuk memburu tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan ke atas Palestin dalam perlawanan pembukaan.
Tajikistan yang dibelasah Korea Utara 0-10 sebelum ini, turun dengan semangat berkobar-kobar di hadapan penyokong sendiri, namun pertahanan mantap skuad Malayan Tigress mengekang setiap asakan tuan rumah.
Cornelli mengekalkan gandingan tonggak utama seperti Steffi Sarge, Ainsyah Murad dan Azurin Mazlan dalam kesebelasan utama bagi mengemudi cabaran negara.
Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan seimbang tanpa sebarang jaringan, namun Malaysia tampil lebih agresif selepas rehat dengan beberapa pertukaran taktikal.
Gol yang dinanti akhirnya hadir pada lewat permainan apabila pemain gantian, Henrietta Justine, menyempurnakan hantaran lintang Intan Sarah dengan tandukan padu yang menerjah gawang lawan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kini mengutip enam mata penuh daripada dua perlawanan, sekaligus membuka laluan cerah ke pentas Piala Asia Wanita buat kali pertama dalam sejarah moden.
Namun cabaran sebenar menanti dalam aksi terakhir Kumpulan H apabila skuad negara bakal berdepan tugas getir menentang Korea Utara – pasukan di ranking kesembilan dunia – dengan kemenangan menjadi syarat wajib untuk mara ke pusingan akhir.
Korea Utara kini menghuni tangga teratas Kumpulan H apabila membelasah Palestin 10-0 dalam satu kali perlawanan, sekali gus menjadi misi semakin sukar. — Edisi 9

