CHELSEA mengekalkan kejuaraan Piala FA Wanita buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Wembley malam tadi.
Beraksi di hadapan 77,390 penonton, rekod tertinggi untuk perlawanan domestik, United bermula garang menerusi Leah Galton hanya 20 minit selepas wisel perlawanan ditiupkan.
Namun gol tersebut dibatalkan pengadil selepas Ella Toone dikesan berada dalam posisi offiside ketika gol tersebut dihasilkan.
Millie Turner turut terlepas peluang meletakkan United di depan namun percubaannya dari jarak dekat yang terbias pertahanan Chelsea ditepis keluar penjaga gol, Ann-Karein Berger.
Percaturan pengurus, Emma Hayes membawa masuk Pernille Harder berhasil pada babak kedua apabila penyerang Denmark itu melakukan hantaran silang sebelum disudahkan Sam Kerr untuk meletakkan Chelsea 1-0 di depan.
Untuk rekod, itu merupakan gol kelapan dalam lapan perlawanan Kerr dan gol keenam berturut-turut penyerang Australia itu dalam aksi final buat Chelsea.
Chelsea melalui detik cemas pada lewat perlawanan selepas Berger terlepas bola ke kaki Galton namun penjaga gol itu pantas menepis percubaan pemain United itu sebelum dikeluarkan Kadeisha Buchanan. – Edisi 9