Tuesday, July 21, 2026

Lebih 400 penyokong tegar barakan semangat ‘Red Devils’

Bola sepak bukan hanya tentang jaringan dan kejuaraan, tetapi juga kuasa untuk membentuk persahabatan sejati, memperkasakan komuniti dan mengubah kehidupan.

Mesti Baca

BIARPUN gagal meraih sebarang kejuaraan dan menamatkan liga di tangga ke-15 musim lalu, namun itu semua tidak menghalang lebih 400 peminat tegar Manchester United di negara ini menyemarakkan semangat Red Devils.

Mereka berhimpun dalam Majlis Makan Malam dan Gala Amal Tahunan Ketujuh United Malaysia, kali ini dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kuala Lumpur Mancunian Red Devils (KLMRD).

Bertemakan United Unites, Together We Thrive acara berprestij itu bukan sekadar meraikan kecintaan terhadap bola sepak, malah menyemarakkan nilai perpaduan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang kepada kelab penyokong rasmi Manchester United di Malaysia.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Hanizan Hussin; legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi; Presiden KLMRD, Muhammad Anderson Tan dan Presiden United Malaysia SRD, Batholomew Jingulam.

Majlis turut menyaksikan detik bermakna apabila KLMRD menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada PSDM, sebagai sebahagian daripada komitmen tahunan mereka dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan.

Muhammad Anderson Tan menyerahkan sumbangan kepada Hanizan Hussin pada majlis makan malam kelab penyokong Manchester United.

“Amal jariah adalah sebahagian daripada DNA United. Setiap tahun kami akan pilih satu NGO untuk disokong dan tahun ini kami bangga dapat berdiri bersama PSDM,” kata Muhammad Anderson Tan.

Lebih menggamatkan suasana, tujuh ahli bertuah diumumkan sebagai penerima pakej penuh ke Old Trafford iaitu impian seumur hidup yang menjadi kenyataan buat sebahagian besar daripada mereka. 

Empat daripadanya dipilih menerusi cabutan bertuah, manakala tiga lagi ditentukan oleh pihak kelab sendiri.

“Majlis gala ini menjadi bukti bahawa bola sepak bukan hanya tentang jaringan dan kejuaraan, tetapi juga kuasa untuk membentuk persahabatan sejati, memperkasakan komuniti dan mengubah kehidupan,” katanya.

KLMRD turut mengumumkan perancangan jangka panjang untuk mewujudkan sebuah rumah kelab tetap sebagai pusat aktiviti peminat, tempat mereka berkumpul, meraikan perlawanan, serta melaksanakan inisiatif kemasyarakatan secara konsisten.

Untuk rekoda, KLMRD merupakan sebahagian daripada United Malaysia, sebuah kelab penyokong rasmi Red Devils yang terdiri daripada KLMRD, Sabah Red Devils dan MUSC Sarawak.

Dengan hampir 3,000 ahli aktif, kelab itu bukan sahaja menganjurkan tontonan perlawanan secara langsung dan sesi bersama lagenda United, malah giat menjayakan pelbagai program amal dan sosial demi menjunjung nilai perpaduan dalam komuniti peminat United di Malaysia. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan