Tuesday, July 21, 2026

United melangkah bergaya ke pentas ‘final’ Liga Europa

Membenam Athletic Bilbao dengan agregat 7-1 dan akan bertemu Tottenham Hotspur di Stadium San Mames, Bilbao 21 Mei ini.

Mesti Baca

MANCHESTER United menempah tiket ke final Liga Europa selepas membenam Athletic Bilbao 4-1 pada separuh akhir kedua di Old Trafford, awal pagi ini.

Dua jaringan pemain gantian, Mason Mount sekali gus menyaksikan tuan rumah menang 7-1 secara agregat dan berpeluang merebut trofi musim ini.

United, yang menghuni di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL), melakukan sepak mula dengan kelebihan selesa selepas menang 3-0 minggu lalu di Bilbao.

Bagaimanapun, Mikel Jauregizar terlebih dahulu meletakkan Athletic di hadapan pada minit ke-31 selepas usaha Harry Maguire mengeluarkan bola singgah di kakinya yang merembat kencang dari luar kotak penalti ke penjuru gol.

Gol itu mencetus kegusaran di Old Trafford namun suasana berubah apabila Mount yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua menyamakan kedudukan pada minit ke-72, sekali gus melenyapkan nyanyian 5,000 penyokong Athletic.

Casemiro menambah derita Atletico apabila menanduk masuk bola hasil sepakan percuma tujuh minit kemudian manakala Rasmus Hojlund melenyapkan kebangkitan lawan pada minit ke-85 setelah menampan masuk hantaran Amad Diallo.

Mount melengkapkan malam gemilang United apabila menambah gol kedua peribadi pada masa kecederaan menerusi sepakan kencang kaki kiri ke pintu gol yang ternganga setelah penjaga gol Atletico, Agirrezabala keluar dari kawasannya.

Kemenangan itu membawa United — juara edisi 2017 — ke pentas akhir bertemu sesama kelab Inggeris, Tottenham Hotspur di Stadium San Mames, Bilbao, 21 Mei ini.

“Ia terlalu lama (menanti malam sebegini),” kata Mount.

“Saya terus berusaha, bekerja keras dalam latihan setiap hari dan cuba untuk kekal positif dan apabila saya berpeluang saya cuba melakukan impak.

“Hari ini ia berbaloi dan saya masuk serta memberi impak kepada perlawanan. Ia satu perlawanan tegang apabila saya masuk, saya cuba untuk menenangkan keadaan.”

Sementara itu, Amorim berkata, beliau tidak akan meraikannya hingga United menang final sekali gus meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Pada detik ini, saya hanya bimbang mengenai perlawanan berikutnya, cuba mengelakkan sebarang kecederaan menjelang final,” katanya.

“Kami perlu memenanginya. Jika kami tidak menang, ia tidak bermakna apa-apa buat kami.” – Agensi

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan