DAP Melaka dianggap hanya bermimpi apabila mencadangkan strategi 14BN+14PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali melepaskan kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kepada Pakatan Harapan (PH) sepertimana diharapkan oleh DAP.
“Jawapan saya kepada DAP mudah sahaja. Dulu rundingan kerusi semasa PRN enam negeri kamu cukup susah nak berikan kerusi kamu yang menang kepada BN ketika itu, kali ini senang-senang sahaja nak kerusi yang kami dah menang.
“Maka kerusi yang BN menang tidak akan sama sekali untuk diberikan kepada PH. Jika nak juga, kita bertanding di tempat yang sama.
“Mudah sahaja. Untuk beri kamu, tidak sama sekali, dan boleh teruskan bermimpi,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau mengulas laporan akhbar berbahasa Cina yang melaporkan sembilan cabang DAP Melaka telah meluluskan resolusi strategi 14BN+14PH bagi menghadapi PRN Melaka akan datang.
Katanya, ini bagi membolehkan masing-masing parti gabungan Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan PH menguasai separuh negeri itu.
Akmal mengingatkan DAP Melaka bahawa BN memenangi 21 kerusi dalam PRN lalu sebelum satu kerusi melompat ke Perikatan Nasional (PN).
Manakala DAP pula, kata beliau, hanya memenangi lima kerusi sementara PN pula menang dua kerusi dan ditambah satu kerusi lompatan dari BN. – Edisi 9

