UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi memperkasa komuniti kurang upaya (OKU) penglihatan melalui latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, melalui persefahaman itu, UPSI akan menerajui pelaksanaan program latihan keusahawanan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain, selain menawarkan program Diploma Keusahawanan secara pesisir khas untuk OKU penglihatan.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu membuktikan iltizam UPSI untuk memperluaskan akses pendidikan, keusahawanan dan peluang ekonomi kepada golongan tersebut.
“Ini adalah inisiatif inklusif pertama seumpamanya di negara ini dan kami berbangga menjadi pelopor dalam usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UPSI dan MAB di Kompleks MAB, Kuala Lumpur semalam.
Pada majlis itu, MAB diwakili oleh Presidennya, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.
Md Amin berkata, MAB akan berperanan sebagai pembekal utama produk keusahawanan yang dihasilkan menerusi program pembangunan usahawan penglihatan, dan produk itu akan dikomersialkan menerusi kios strategik di UPSI.
Sementara itu, Tengku Azlan berkata, MoU tersebut membuka lembaran baharu dalam memperkasakan komuniti OKU penglihatan melalui bidang keusahawanan.
“Setiap tahun, lebih 3,000 individu kurang upaya penglihatan mendapat manfaat daripada program yang ditawarkan MAB,” katanya.
Pada majlis itu turut dilancarkan buku ‘Memperkasa Asas Berniaga (MAB): Dalam Kalangan Usahawan Kurang Upaya Penglihatan’ yang diterbitkan oleh UPSI dalam format fizikal, Braille dan audio.
Tengku Azlan berkata, penerbitan buku dalam format e-book dan Braille itu menandakan komitmen serius dalam menyediakan sumber ilmu yang lebih inklusif di negara ini.
“MAB kini berkembang daripada sebuah pertubuhan kebajikan kepada pusat pembangunan komuniti menyeluruh dengan menawarkan latihan vokasional, kaunseling, penempatan pekerjaan, pembangunan keusahawanan serta percetakan Braille,” katanya. – Edisi 9

