PASUKAN kebangsaan, Harimau Malaya bakal diuji oleh Cape Verde, pasukan di ranking ke-72 dunia, dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, selain perlawanan tersebut, satu aksi latihan secara tertutup antara kedua-dua pasukan turut akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun depan.
Kedua-dua aksi ini merupakan sebahagian daripada perancangan persiapan skuad kendalian Peter Cklamovski menjelang pertemuan penting menentang Vietnam dalam saingan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 10 Jun.
Untuk rekod, Cape Verde belum pernah melayakkan diri ke Piala Dunia, namun telah empat kali beraksi di pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika (CAN) pada edisi 2013, 2015, 2021 dan 2023.
Prestasi terbaik mereka ialah mara ke peringkat suku akhir pada tahun 2013 dan 2023.
Pasukan dari benua Afrika itu juga pernah menduduki ranking ke-27 dunia pada tahun 2014, sekali gus membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, FAM turut mengumumkan harga tiket bagi kedua-dua perlawanan tersebut. Bagi aksi menentang Cape Verde, harga tiket Terbuka adalah RM40, manakala tiket untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun berharga RM5.
Sementara itu, bagi perlawanan bertemu Vietnam, tiket Terbuka dijual pada harga RM40, tiket Grandstand RM60, tiket Premium RM70 dan tiket kanak-kanak RM5.
Semua tiket dijual secara dalam talian sepenuhnya menerusi laman web www.tickethotline.com.my bermula 12 Mei 2025, jam 10 pagi.
FAM turut menegaskan bahawa tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium bagi kedua-dua perlawanan berkenaan. – Edisi 9

