SENTUHAN pertama Ruben Amorim sebagai Ketua Jurulatih baharu Manchester United hanya akan dilihat apabila kelab itu berkunjung ke Ipswich untuk aksi Liga Perdana (EPL), 25 November ini.
Ini kerana mengikut kontrak yang ditandatangani, tugas pengendali Sporting CP itu di Old Trafford bermula 11 November iaitu untuk tempoh tiga tahun sehingga Jun 2027.
Ini bermakna Ruud van Nistelrooy kekal sebagai pengendali sementara untuk pertemuan dengan Chelsea dalam aksi EPL Isnin ini, PAOK FC (8 November) untuk Liga Eropah dan Leicester (EPL – 10 November).
Tugas bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Portugal itu adalah sebagai Ketua Jurulatih dan bukannya pengurus sebagaimana pengendali United sebelum ini.
“Manchester United berbesar hati mengumumkan pelantikan Ruben Amorim sebagai Ketua Jurulatih bagi pasukan utama, berdasarkan keperluan visa kerjanya,” kata kenyataan kelab itu.
Ruben, 39, dikatakan jurulatih muda paling menonjol dan paling bernilai dalam kancah bola sepak Eropah.
Sebagai pemain dan jurulatih Sporting CP, beliau berjaya membawa pasukan itu menjuarai Liga Premier Portugal sebanyak dua kali dan yang pertama bagi kelab itu selepas 19 tahun.
Ruben menggantikan Erik Ten Hag yang dipecat Isnin lalu ekoran prestasi terburuk United apabila menduduki tangga ke-14 dalam EPL.
Daripada sembilan perlawanan musim ini, United hanya mencatatkan tiga kemenangan di bawah pengendali dari Belanda itu.
Dua hari selepas Nistelrooy ambil alih sebagai jurulatih sementara, United merekodkan kemenangan besar 5-2 ke atas Leicester dalam Pila Carabao, jaringan yang tidak pernah dicapai United sepanjang di bawah bimbingan Ten Hag.