TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar penduduk di luar bandar mengusahakan penanaman halia kerana tanaman itu mempunyai permintaan tinggi di luar negara.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, tanaman itu diperlukan untuk pembuatan produk kosmetik dan farmaseutikal sekali gus dapat menjana pendapatan tinggi bagi penduduk luar bandar.
Zahid berkata, hasil rundingan dengan sebuah syarikat multinasional, sebanyak 10 kontena halia perlu dibekalkan setiap bulan namun sehingga kini permintaan tersebut sukar dipenuhi.
“Sebanyak 10 kontena sebulan, tetapi kita tidak ada kemampuan dari segi pengeluaran.
“Mungkin setakat ini satu dua kontena sahaja, tetapi itu tidak mencukupi. Mereka memerlukan satu jumlah yang banyak,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi, Samu Ulu Paku, Spaoh di Betong, Sarawak hari ini.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Wakil Rumah Panjang Samu, Tan Sri Empiang Jabu.
Sebelum itu Zahid melontarkan cabaran kepada penduduk Betong untuk menghasilkan 10 kontena halia sebulan, untuk dieksport ke luar negara.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya telah merancang untuk melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) di Betong.
Ini meliputi penanaman halia dan penternakan ayam kampung sebagai fokus komponen pembangunan ekonomi di situ.
Ahmad Zahid berkata halia mendapat permintaan tinggi dari China, Eropah dan juga Amerika Syarikat bagi penghasilan ramuan pembuatan produk kosmetik dan farmaseutikal.
Prospek Betong yang akan menjadi projek yang pertama melibatkan rumah panjang dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang, akan dilaksana pada tahun depan dengan tempoh pembangunan projek sehingga 2029.