26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Bendahari Bersatu Pahang keluar parti, lepas semua jawatan

Mesti Baca

KETUA Bersatu Bahagian Bentong, Datuk Roslan Hassan hari ini mengumumkan keluar daripada parti dan melepaskan semua jawatannya berkuatkuasa serta-merta.

Beliau yang juga Bendahari Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Pahang meninggalkan parti itu kerana tidak berpuas hati dengan laungan amanah dan integriti pucuk pimpinan yang disifatkannya sebagai retorik semata-mata.

Malah, kata beliau, tindakan secara semberono dibuat pimpinan tertinggi untuk mengetepikan mereka yang tidak sehaluan serta cubaan secara curang bagi menaikkan mereka yang mengikut telunjuk kepimpinan meskipun telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti.

Jelas beliau, roh perjuangan parti itu iaitu bersatu, beramanah dan bermaruah yang berteraskan prinsip berintegriti juga makin lenyap dari semasa ke semasa.

“Lihat saja kepada protes demi protes, luahan ketidakpuasan hati sesudah selesai proses pemilihan sayap-sayap seolah-olah banyaknya berlaku ‘pengalihan tiang gol’ untuk memenangkan pihak-pihak tertentu yang gagal menjaringkan kemenangan.

“Saya yakin, orang ramai di luar sana melihat gelagat kebanyakan pemimpin yang semakin hari semakin terserlah sifat buruk dan tidak bersih dalam menguruskan parti.

“Sudah tentu mereka gusar untuk meletakkan pemimpin-pemimpin sedemikian untuk menerajui dan menguruskan negara.

“Bagaimana mampu pemimpin sedemikian menguruskan negara sedangkan menguruskan parti pun huru-hara, curang, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Mengulas lanjut, Roslan berkata, peletakan jawatannya daripada parti itu turut berlanjutan daripada penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong pada 24 September lalu tanpa sebab dan alasan kukuh.

Beliau memaklumkan telah mengutuskan surat bertarikh 10 Oktober lalu supaya Setiausaha Agung Bersatu memberi penjelasan tentang penggantungan Jawatankuasa Bahagian Bentong.

Namun, katanya, tiada sebarang respons diberikan sehingga kini.

“Setelah meneliti tiadanya alasan yang kukuh mengapa Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong digantung, maka saya mengandaikan penggantungan ini dilakukan berkemungkinan kerana saya telah menyuarakan secara lantang tidak bersetuju dengan beberapa pertukaran dan pindaan yang dibentangkan oleh pimpinan tertinggi di Konvensyen Bersatu Nasional pada 13 Julai lalu.

“Pada hemat saya pertukaran dan pindaan Peraturan-Peraturan Persidangan tersebut tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menyelamatkan pihak-pihak tertentu yang sepatutnya sudah gagal untuk menjalankan persidangan masing-masing dan memberi peluang kepada mereka untuk bertanding jawatan-jawatan dalam parti kerana tahun ini adalah tahun pemilihan.

“Saya tidak bersetuju kerana bagi saya pimpinan tertinggi tidak teliti dalam membuat cadangan dan gagal melihat kesan negatif jangka panjang terhadap parti dalam menjalankan persidangan cawangan dan bahagian untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Roslan bertanding di Parlimen Bentong tetapi tewas kepada Young Syefura Othman daripada Pakatan Harapan (PH). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan