JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 di seluruh negara selama dua bulan bermula hari ini hingga 31 Disember.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, operasi tersebut akan memberi tumpuan terhadap penunggang dan pemilik motosikal agar mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kawdah di bawahnya.
Menurutnya, pelaksanaan operasi khas itu susulan statistik yang membimbangkan ekoran peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian bulanan yang direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 70 peratus atau 1,908 kes melibatkan motosikal.
“Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian, pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama.
Kesalahan tersebut ialah tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM) atau tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas.
Beliau berkata, tumpuan juga diberikan kepada kesalahan ubah suai kenderaan secara ekstrem, tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan lain membabitkan hal-hal teknikal.
“JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang atau pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
“Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jala raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM),” katanya.
Pihak JPJ turut menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan. – Edisi 9