SERAMAI 16 pelajar Sarjana Muda Sains Kimia Universiti Malaya (UM) telah menyertai program Universitas Indonesia Credit Earning Program for International Students (UI-CREATES) 2024 yang berlangsung pada 5 Ogos hingga 3 Oktober lalu.
Program anjuran Universitas Indonesia (UI) itu merupakan program kuliah jangka pendek secara dalam talian bagi mendedahkan para pelajar antarabangsa dalam bidang akademik dan lawatan bagi mengenali kebudayaan negara itu.
Menurut pensyarah Jabatan Kimia UM, Dr Noordini Mohamad Salleh berkata, program anjuran Departemen Kimia, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), UI itu merangkumi 10 kuliah.
Katanya, antara kuliah yang disertai iaitu dalam bidang organik sintesis dan ubatan, sesuai dengan tema Synthetic and Natural Product Chemistry for Drug Discovery selain lawatan ke kampus UI di Jakarta dan sekitarnya.
“Program lawatan ke UI menawarkan bukan sahaja pengalaman antarabangsa dalam bidang akademik tetapi juga eksplorasi budaya secara tidak langsung,” katanya baru-baru ini.

Salah seorang peserta program, Hezron Mujah Lasa berkata, program kuliah secara dalam talian yang dijalankan banyak memberi pendedahan kepadanya tentang hubungan sintesis organik dengan dunia
perubatan.
Pelajar tahun tiga itu berkata, di samping itu dia juga dapat memahami pelbagai konsep dan teori asas kimia terutamanya dalam penghasilan ubat-ubatan menggunakan sumber semula jadi dan sintetik.
Katanya, program lawatan pula memberi banyak manfaat dan ilmu berkaitan dengan budaya masyarakat Indonesia.
Justeru, dia berharapprogram sebegini dapat dianjurkan dengan lebih kerap bagi menaikkan minat siswa dalam bidang kimia perubatan selain mengeratkan hubungan erat antara universiti terlibat. – Edisi 9

