25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Tawaran bidaan harga plat ‘Madani’ serendah RM100 dibuka

Mesti Baca

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menawarkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI dengan harga minimum bermula RM100.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengenalan NPI tersebut bagi menyemarakkan lagi semangat dan penghayatan Malaysia Madani melalui nombor pendaftaran kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, NPI Siri MADANI telah diluncurkan oleh Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diserahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semasa Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu semalam.

Menurutnya, NPI Siri MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda Madani Malaysia, yang secara tidak langsung mempromosikan nilai madani yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam setiap langkah kehidupan rakyat Malaysia.

Katanya, tawaran bidaan NPI Siri MADANI telah dibuka bermula semalam dan akan ditutup 23 Oktober 2024, pukul 10 malam melalui Sistem JPJeBid. 

“Keputusan bidaan NPI Siri MADANI akan dikeluarkan pada 24 Oktober 2024 dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

Advertisements

“Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada Terma dan Syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly berkata, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan iaitu RM20,000 bagi Nombor Utama, RM5,000 (Nombor Premium), RM2,500 (Nombor Popular) dan RM100 bagi Nombor Semasa.

Katanya, hasil penjualan NPI ini juga merupakan salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Antaranya Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif yang lain.

“Orang awam dialu-alukan untuk bersama-sama menyokong hasrat Kerajaan melalui penyertaan bidaan NPI dan seterusnya pemilikan nombor pendaftaran kenderaan Siri MADANI,” katanya.

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan