SEMUA aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang beroperasi di luar negara tidak tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, penggunaan aplikasi Al seperti ChatGPT dan lain-lain yang beroperasi dari luar negara tidak tertakluk secara langsung kepada bidang kuasa akta tersebut sekiranya tiada entiti pemprosesan di Malaysia.
“Adalah penting untuk difahami bahawa platform-platform Al ini kebanyakannya beroperasi di luar bidang kuasa undang-undang tempatan dan data yang dimasukkan ke dalamnya berkemungkinan diproses dan disimpan di pelayan luar negara.
“Penggunaan aplikasi Al seperti ChatGPT dan lain-lain yang beroperasi dari luar negara tidak tertakluk secara langsung kepada bidang kuasa Akta 709 sekiranya tiada entiti pemprosesan di Malaysia.
“Justeru itu, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak berkongsi data peribadi sensitif melalui mana-mana aplikasi tanpa memahami terma penggunaan serta dasar privasi yang ditetapkan oleh penyedia aplikasi/ perkhidmatan,” katanya.
Gobind berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN – Masjid Tanah) dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Teks jawapan Gobind dikongsi oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menerusi media sosialnya hari ini.
Mas Ermieyati bertanya sama ada data yang dimasukkan dalam platform aplikasi AI seperti ChatGPT, CopyAI dan Jasper AI dijamin selamat atau ada kemungkinan akan terdedah kepada umum.
Menurut Gobind, Akta 709 terpakai hanya kepada pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial di Malaysia.
Beliau berkata, penyedia perkhidmatan Al yang beroperasi di Malaysia perlu memastikan pematuhan terhadap prinsip-prinsip perlindungan data peribadi sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta 709.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan kekal komited dalam memastikan privasi pengguna sentiasa terpelihara dan dilindungi dalam persekitaran digital yang selamat.
“Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah proaktif melalui pendekatan strategik berikut sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh keselamatan dan kesedaran awam dalam penggunaan teknologi, termasuk aplikasi berasaskan AI,” katanya. — Edisi 9

