BAYANGKAN kita bangun pagi, pergi kerja macam biasa tetapi tiba-tiba nampak sesuatu yang pelik. Ada garisan merah menyala atas kepala orang di hadapan kita.
Satu, dua, ada yang macam sarang labah-labah dan kita seorang sahaja yang dapat melihatnya. Itulah S-Line, drama Korea paling panas sekarang.
Bukan kerana pelakonnya semata-mata tetapi ia mendedahkan apa yang ramai orang cuba sorok, siapa pernah tidur dengan siapa!
S-Line ialah drama thriller Korea terbaharu yang kini ditayangkan serentak di seluruh Malaysia menerusi tonton.com.my.
Kisahnya berputar kepada seorang lelaki bernama Shin Hyun-heup yang sejak kecil boleh nampak garisan merah misteri di atas kepala orang yang pernah melakukan hubungan seksual.
Garisan ini makin banyak kalau makin ramai pasangan, dan paling seram, ia bersambung antara dua individu yang pernah berhubungan.
Namun ini bukan sekadar cerita “siapa dengan siapa”, ia menjadi kisah pembunuhan, tekanan sosial dan kebenaran yang membunuh.
Bila aib dah jadi mula terdedah, siapa pun boleh jadi mangsa!
Bukan di Korea sahaja orang demam S-Line. Di Pavilion Kuala Lumpur, pelakon utamanya Lee Soo-hyuk turun padang dan ribuan peminat Malaysia berkampung macam konsert.
Ada yang sanggup ponteng kerja, tinggal anak, dan beratur dari subuh demi mahu melihat “Oppa S-Line”.
Di TikTok dan Instagram, ramai anak muda mula ikut trend, ubah suai gambar sendiri dengan meletakkan garisan merah. Bukan lagi gambar estetik tapi gambar kononnya ada “garis dosa”.
Ramai yang seronok dengan visual dan misteri drama ini tetapi ada juga yang risau! Kenapa makin ramai suka mendedahkan hal intim secara terbuka?
Trend S-Line secara tidak langsung membuka perbincangan tentang budaya dedah aib sendiri, normalisasi seks bebas, dan keghairahan terhadap “cinta tanpa batas”.

Di Malaysia, segelintir warganet dan ustaz-ustaz mula bersuara: “Allah tutup aib kita tetapi kau bangga tayang sendiri? Itu bukan FOMO (Fear Of Missing Out atau takut ketinggalan), itu mujahir.”
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Semua umatku akan diampuni kecuali golongan mujahir…” [HR al-Bukhari dan Muslim]”
Lalu Baginda SAW menjelaskan: “Iaitu seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, lalu pada siangnya dia menceritakan perbuatannya, padahal Allah telah menutup aibnya.”
Itulah mujahir, orang yang bangga membuka aib sendiri, kononnya “jujur” dan “bebas”, padahal sedang merobohkan dinding rahmat Allah yang menutup dosanya.
S-Line memang mendebarkan. Ceritanya penuh misteri, ‘plot twist’, dan visual garisan merah yang menyeramkan.
Namun di sebalik keterujaan itu, ada cermin besar untuk kita pandang diri kita. Adakah kita juga sedang seronok menayang sesuatu yang Allah suruh kita sembunyikan?
Adakah kita sedang menyokong budaya mendedahkan dosa, walaupun dengan alasan “seni” atau “realiti”?
Kerana apabila dosa jadi hiburan, dan aib jadi trend, maka neraka pun boleh kelihatan estetik, kalau kita tidak sedar.
Perkara yang paling bahaya dalam hidup kita ini ialah apabila dosa itu makin lama makin nampak “biasa”.
Mula-mula kita terkejut, lepas tu kita diam, lama-lama kita gelak, dan akhirnya kita pun ikut.
Sebab apa? Sebab semua orang buat dan bila semua orang buat, hati kita pun mula berbisik, “ala rileklah, bukan kau seorang pun.”
Tetapi hakikatnya, dosa tetap dosa walaupun satu dunia buat, dan kebenaran tidak pernah tunduk kepada majoriti.
Jangan sampai hati kita jadi kebas, sampaikan perkara mungkar pun sudah tidak terasa salah.
Pelihara maruah bukan sekadar tutup aurat atau jaga air muka di depan orang tetapi jaga diri daripada menjadi hamba ikutan yang makin hari semakin jauh daripada rahmat Tuhan.
Sebab bila maruah hilang, yang tinggal cuma jasad yang kosong. Cantik di luar tetapi reput di dalam.
Pesan akhir kami, “Tuhan itu Maha Penutup Aib. Tapi kalau kita sendiri membukanya, jangan salahkan Dia bila hilang syurga-Nya.”
Sumber: Bahagian Dakwah, JAKIM

