Tuesday, July 21, 2026

RM48.873 bilion bukan ketirisan tetapi jumlah kos diaudit

Laporan yang tidak tepat oleh sesetengah pihak berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara.

Mesti Baca

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2025 yang menyebut angka RM48.873 bilion sepertimana dibentangkan di Dewan Rakyat semalam bukanlah jumlah ketirisan atau kerugian oleh kerajaan.

Sebaliknya, menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, jumlah tersebut merupakan nilai kos keseluruhan program, aktiviti atau projek yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Beliau berkata, laporan yang tidak tepat oleh sesetengah pihak berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara.

“Skop pengauditan ini secara amnya mengambil kira prestasi program/projek/aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi) serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.

“Justeru, setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan ini disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuhkan sistem dalaman dan pematuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Suraya berkata, LKAN 2/2025 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi/Syarikat Kerajaan Persekutuan telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 

Seterusnya, laporan tersebut akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok (Rabu, 23 Julai).

“Sepanjang proses pengauditan, Jabatan Audit Negara mendapat sokongan jitu daripada semua jentera Kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. 

“Kerjasama dan komitmen ini amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebanyak 44 isu yang telah dilaporkan dalam LKAN 2/2025 telah pun dimuat naik di Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) semalam untuk disusuli dengan kementerian dan jabatan berkenaan. 

Katanya, isu-isu yang sama juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit

Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan secara bersama.

“Bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh JAN telah berjaya membantu kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta.

“Antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan secara rasmi melalui laman sesawang Jabatan Audit Negara di www.audit.gov.my bagi mendapatkan gambaran tepat dan menyeluruh terhadap dapatan audit yang dibentangkan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan