26 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

MARA jawab Laporan Ketua Audit Negara isu kerugian Mara Inc

Mesti Baca

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) hari ini tampil menjawab Laporan Ketua Audit Negara berhubung kerugian terkumpul anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) sejak 2012 sehingga 2022 lalu.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf, kerugian terkumpul itu sebahagiannya melibatkan urusan pembelian aset di luar negara khususnya di Australia dan United Kingdom antara tahun 2012 hingga 2014.

Beliau berkata, segala tindakan sewajarnya telah diambil termasuk aspek perundangan serta tindakan susulan oleh MARA dan syarikat bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Majlis MARA pada September 2015 telah meluluskan pelan rasionalisasi pemulihan Mara Inc. dalam memastikan nilai aset meningkat dari tahun ke tahun serta memperkasakan aspek tadbir urus syarikat ke arah mengurangkan kerugian terkumpul.

“Pelaksanaan pelan ini merangkumi pelunasan hutang-hutang serta rasionalisasi operasi aset Mara Inc. di luar negara yang kini telah mula menampakkan hasil yang mana aset-aset tersebut kini telah bebas daripada sebarang hutang dengan pihak luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AZHAR ABDUL MANAF

Azhar bagaimanapun berkata, pandemik Covid-19 yang melanda telah menjejaskan prestasi aset-aset sysrikat tersebut.

Katanya, nilai aset-aset itu jatuh mendadak dan menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian terkumpul syarikat berkenaan.

Advertisements

Beliau turut menekankan bahawa bermula tahun 2022 dan sehingga Jun 2024, prestasi aset-aset ini semakin baik dengan kadar sewaan yang meningkat serta kadar penghunian melebihi 90 peratus.

“Aset-aset tersebut telah menjana pulangan yang baik kepada Mara Inc. dan telah memberi impak positif kepada nilai aset selepas pandemik,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Azhar berkata, bagi tempoh tiga tahun yang sama, nilai pelaburan hartanah MARA Inc. telah meningkat sebanyak hampir 30 peratus daripada RM170 juta kepada RM215 juta.

Manakala prestasi kewangan juga menunjukkan tren positif dengan merekodkan keuntungan selepas cukai bagi tahun 2022, 2023 dan setakat Mei 2024.

Ini sekaligus mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM14.06 juta atau 5 peratus dari jumlah kerugian terkumpul pada tahun 2022 dan membolehkan MARA Inc. membuat pembayaran dividen kepada MARA Corp.

“Majlis MARA dan Pengurusan MARA hari ini amat komited dan beriltizam tinggi untuk memastikan segala aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan syarikat berada pada tahap tertinggi agar tidak berlaku sebarang ketirisan, penyimpangan, penyelewengan dan pembaziran yang melibatkan wang rakyat yang diamanahkan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua kapal dagang berlanggar, Maritim Malaysia aktifkan Carilamat

DUA buah kapal dagang dilapor telah berlanggar di 25 batu nautila timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul...

Lagi Artikel Berkaitan