Thursday, June 4, 2026

Sindiket pelacuran warga asing tumpas, 75 ditahan – Ruslin

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran warga asing dalam satu Operasi Khas di lapan lokasi di sekitar Lembah Klang, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan berasingan itu dilakukan di dua lokasi di Jalan Tun Razak dan Jalan Pudu di Kuala Lumpur.

Turut digempur empat lokasi masing-masing di Kampung Baru Subang di Shah Alam, Pusat Bandar Puchong serta Taman Andalas Jaya, Taman Bayu dan Klang Central di Klang.

Beliau berkata, operasi bermula pada pukul 1.45 petang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dariBahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 32 perempuan Indonesia, 11 perempuan Bangladesh, lapan perempuan Vietnam dan enam perempuan warganegara India.

Turut ditahan tujuh lelaki Bangladesh, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 17 hingga 46 tahun.

Antara pelanggan dan pelacur yang ditahan.

Selain itu, tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 65 tahun turun ditahan yang menjadikan keseluruhan seramai 75 orang.

“Hasil semakan awal mendapati, 13 perempuan Indonesia dan empat perempuan Vietnam yang ditahan memiliki pas yang masih sah laku.

“Sementara dua perempuan Indonesia dan seorang perempuan Vietnam telah tinggal lebih masa.

“Manakala warganegara asing lain yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ruslin berkata, pasukan operasi telah merampas satu telefon bimbit, 15 naskhah pasport Indonesia, lima naskhah pasport Vietnam, wang tunai sebanyak RM1,750, satu set komputer dan 10 buah buku kerja daftar pelanggan.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan pelacuran manakala pelanggan akan hadir sendiri ke premis dan memilih wanita warganegara asing berdasarkan katalog yang diberikan.

“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata, bayaran secara tunai akan diberikan kepada penjaga premis semasa pelanggan mula untuk memasuki bilik dengan kadar RM100 hingga RM400 bagi satu jam. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan