JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius penggunaan logo ‘Muslim Choice’ yang dikendalikan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali Muslim Friendly Watch (WFW) yang semakin berleluasa walaupun telah diberi amaran sebelum ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penggunaan logo tersebut atau seumpamanya yang dikeluarkan oleh WFW atau mana-mana pihak adalah tidak sah serta mengelirukan.
Beliau berkata, penggunaan logo seperti itu bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa dan boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
“Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai WFW yang memperkenalkan pengiktirafan “Muslim Choice” kepada para pengusaha yang menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh pertubuhan tersebut.
Pengiktirafan itu bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang diiktiraf adalah berkualiti, bersih dan selamat serta selari dengan prinsip Islam.
Sirajuddin berkata, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos tahun lalu dan telah memaklumkan bahawa pengiktirafan “Muslim Choice” boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.
Sirajuddin berkata, sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam, yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.
Tegas beliau, ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim. – Edisi 9

