Tuesday, July 21, 2026

Malaysia desak hentikan segera keganasan di Darfur

Anwar menyifatkan apa yang sedang disaksikan dunia ketika ini sebagai “malapetaka kemanusiaan” melibatkan pembunuhan beramai-ramai...

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan.

Beliau menyifatkan apa yang sedang disaksikan dunia ketika ini sebagai “malapetaka kemanusiaan” melibatkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan perpindahan besar-besaran yang mengejutkan nurani kemanusiaan.

“Laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan, malah pembunuhan berasaskan etnik, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar menyeru agar semua pihak segera menghentikan keganasan serta memastikan perlindungan terhadap orang awam selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menurut beliau, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas bagi menghentikan penderitaan, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong usaha ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban.

Keganasan di El Fasher, ibu negeri Darfur Utara, kini disifatkan sebagai antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat di Sudan sejak perang saudara meletus pada 2023.

Pasukan Rapid Support Forces (RSF) dilaporkan menawan bandar itu selepas pertempuran sengit dengan tentera kerajaan Sudan, menyebabkan ribuan penduduk terkorban dan puluhan ribu lagi terpaksa melarikan diri.

Saksi melaporkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, di samping kemusnahan besar terhadap hospital, sekolah serta kem pelarian.

Laporan Al Jazeera dan Human Rights Watch mendedahkan bahawa selepas penguasaan RSF, berlakunya siri kekejaman termasuk serangan ke atas rumah penduduk, penculikan serta rogol beramai-ramai.

Mangsa yang terselamat mendakwa kumpulan bersenjata menyasarkan etnik tertentu, khususnya masyarakat Zaghawa, yang dianggap menyokong tentera kerajaan.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa tindakan tersebut boleh dikategorikan sebagai jenayah perang atau genosid.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan