26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

44 peniaga warga asing ditahan di Jalan Petaling

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 44 warga asing yang bekerja di pelbagai premis di Jalan Petaling, Kuala Lumpur ditahan pihak penguatkuasa dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah menerusi Operasi Bersepadu Bersama Agensi Sahabat, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula pukul 11.30 pagi.

DBKL menerusi hantarannya di Facebook berkata, serbuan bersepadu itu melibatkan tujuh buah premis yang menjual pakaian, beg, aksesori, restoran dan lain-lain aktiviti.

Katanya, sejumlah 90 warga asing telah diperiksa, 44 orang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (23), Myanmar (11), Nepal (enam), Indonesia (tiga) dan Filipina (seorang),” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPDN turut mengambil tujuh tindakan terhadap premis stor simpanan barangan cap dagangan melibatkan 37 jenama terkenal.

Advertisements

Katanya, tindakan sita pelbagai barangan dan peralatan perniagaan dibuat serta menahan dua orang pengendali premis untuk tindakan lanjut di bawah kesalahan Akta Cap Dagangan 2019.

Sementara itu, DBKL turut menutup serta-merta dua premis yang dikendalikan oleh warga asing di lokasi tersebut dengan mengeluarkan empat notis kompaun.

Katanya, mereka didapati melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan halangan tempat awam.

“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, UUK Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Jelas kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi sahabat akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang lain di sekitar ibu kota. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan