27.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 18, 2024

Banjir: Tiada penangguhan sesi persekolahan 2023/2024

Kementerian Pendidikan akan memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas datang ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.

Mesti Baca

TIADA penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekiranya kerja-kerja membaik pulih sekolah terjejas akibat banjir tidak sempat dilaksana sebelum tarikh tersebut, pelajar akan diberi pilihan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat merupakan paling teruk iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah. Saya fikir kami sedaya upaya akan melakukan kerja membaik pulih kerosakan dengan segera dalam tempoh dua minggu ini.

“Kami tidak akan menangguhkan sesi persekolahan tetapi kami bagi pilihan (jalani) PdPR supaya proses pembelajaran tetap berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah dekat Segamat hari ini.

Fadhlina berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak teknikal dan jurutera yang menilai, sekolah terjejas bukan sahaja mengalami kerosakan, malah kemusnahan aset termasuk melibatkan meja guru dan perkakas perabot.

Advertisements

Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac bagi negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor), manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di tiga negeri merekodkan seramai 53,040 orang dengan Johor mencatatkan jumlah teramai iaitu 49,410 orang.

Sementara itu, Fadhlina berkata, menyedari keperitan mangsa banjir yang mengalami kerosakan barangan persekolahan termasuk pakaian, Kementerian Pendidikan akan memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas datang ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.

“Kami ada pertimbangan manusiawi dan keinsanan, jadi mereka boleh datang ke sekolah dengan pakaian apa sekalipun asalkan mereka tetap pergi ke sekolah dan memulakan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya yang melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

212 terima penajaan Biasiswa YDPA sejak 2006 – Wan Dahlan

SERAMAI 212 warganegara Malaysia telah menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) menerusi 19 penawaran sejak diperkenalkan pad 2006 sehingga...

Lagi Artikel Berkaitan