33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PRN: 3 jawatankuasa libat semua parti Kerajaan Perpaduan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa sempena mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan buat kali pertama di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Anwar berkata, mesyuarat bersetuju menubuhkan jawatankuasa itu termasuklah Jawatankuasa Pilihan Raya bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, sementara dua jawatankuasa lagi adalah Jawatankuasa Strategi serat Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik itu juga akan memberi keutamaan dalam memantau kebijakan terutamanya melibatkan kos sara hidup rakyat yang meninggi.

“Saya turut mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat.

“Sekretariat ini juga akan memberi pandangan mengenai kebijakan Kerajaan Perpaduan dan memastikan semua pandangan diambilkira sebelum merumuskan apa-apa dasar yang ingin diperkenal dan dilaksanakan,” katanya.

Ujar Anwar yang merupakan Presiden PKR, parti-parti yang menjadi tiang utuh kesatuan Kerajaan Perpaduan telah bersama dalam mesyuarat sekretariat tersebut.

Dalam mesyuarat berkenaan, Anwar memaklumkan dapatan kajian menunjukkan Kerajaan Perpaduan dengan kekuatan beberapa parti mendapat sokongan lebih dua pertiga pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kerusi pula, memang setakat ini, mencatat 148 kerusi, juga dua pertiga. Kalau lihat dari segi dukungan, kita satu-satunya gabungan yang mewakili semua kaum, semua daerah, semua suku kaum di negara kita ini.

“Ini memberikan kelebihan kepada kita. Kenyataan saya lakukan ini adalah untuk kuatkan tekad kita, bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap. Ini telah kita sepakati malam ini,” katanya.

Untuk rekod, enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 lalu dan akan mengadakan PRN tahun ini iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan