28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pasukan SMART Malaysia masuk kawasan bencana hari ini

Terdapat kelewatan dalam atur gerak operasi berikutan masalah kesesakan di Lapangan Terbang Adana

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka memasuki kawasan bencana gempa bumi hari ini bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di selatan Turkiye.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, terdapat kelewatan dalam atur gerak operasi berikutan masalah kesesakan di Lapangan Terbang Adana yang menjadi pintu masuk ke kawasan bencana.

“Pergerakan menggunakan jalan darat dari Adana ke Aziantep akan mengambil masa lebih kurang tiga jam.

“Semoga dipermudahkan perjalanan dan semua urusan pasukan di sana,” kata agensi itu menerusi Facebook hari ini.

Pasukan SMART selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 5.50 pagi waktu tempatan (10.50 pagi waktu Malaysia).

Pasukan itu seterusnya diberikan taklimat sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Adana bagi meneruskan perjalanan ke Gaziantep.

“Terima kasih kepada semua yang terbabit bagi memudahkan urusan perjalanan,” katanya.

Kelmarin, Malaysia menghantar 75 anggota SMART untuk membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di selatan Turkiye yang mengorbankan lebih 5,000 orang setakat ini termasuk di Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pasukan itu dihantar selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, membolehkan ia dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan