Sunday, July 19, 2026

Malaysia hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar, Thailand

Sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terjejas.

Mesti Baca

MALAYSIA menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) ke Myanmar bagi membantu negara itu yang dilanda gempa bumi semalam yang mengakibatkan kerosakan besar dan kehilangan nyawa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan itu dijangka tiba di negara itu tengah hari ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan.

Beliau berkata, pada masa yang sama, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana, khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini, dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terjejas.

Beliau berkata, Malaysia telah merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar serta memberi impak besar kepada negara jiran Thailand itu.

Katanya, kejadian tersebut telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.

“Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar,” katanya.

Semalam, gempa bumi dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter berpusat di Myanmar menggegarkan Asia Tenggara, mengakibatkan kematian dan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur awam.

Dalam masa yang sama, anggota penyelamat di Bangkok bergelut untuk mengeluarkan 81 individu yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan yang masih dalam pembinaan.

Media melaporkan, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh di bandar Taungoo di Myanmar apabila sebahagian binaan sebuah masjid runtuh manakala sekurang-kurangnya dua orang maut dan 20 cedera selepas sebuah hotel runtuh di Aung Ban.

Di Thailand, Menteri Pertahanan berkata, pasukan penyelamat sedang giat meneruskan pencarian membabitkan 81 orang yang terperangkap dalam runtuhan bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan