Monday, July 20, 2026

37 golongan yang kerugian di bulan Ramadan (Bahagian 1)

Setiap amal ibadat dan amal saleh yang dilakukan telah ditawarkan dengan ganjaran pahala yang lumayan. 

Mesti Baca

Oleh MOHD ANUAR RAMLI
MOHD ANUAR RAMLI

RAMADAN merupakan bulan yang berkah. Ia ibarat sebuah ladang pahala yang luas dan tidak bertepian kerana menjanjikan pahala yang berlipatkali ganda.

Setiap amal ibadat dan amal saleh yang dilakukan telah ditawarkan dengan ganjaran pahala yang lumayan. 

Akan tetapi tawaran Ramadan ini tidak menarik minat segelintir umat Islam, lantas ramai yang mengabaikan amal ibadat dan saleh di bulan ini. 

Mereka termasuk dalam golongan yang kerugian dalam bulan Ramadan. Di antara golongan ini adalah:

1) Orang yang tidak berpuasa tanpa uzur syar’ie

Puasa Ramadan merupakan rukun Islam yang ketiga. Ia diwajibkan bagi orang yang cukup syarat wajib berpuasa. Orang yang meninggalkan dengan sengaja adalah berdosa, malah wajib menggantikannya pada hari yang lain.

Sekiranya mereka meninggal dan belum sempat menggantikannya, mereka akan dikenakan fidyah mengikut bilangan puasa yang ditinggalkan.

Ini termasuklah kumpulan plastik hitam dan mereka yang tidak berpuasa dengan alasan yang dibuat-buat seperti sakit perut dan gastrik.

2) Orang yang mencuri dan menipu dalam ibadah puasa

Puasa secara asasnya menahan diri dari lapar dan dahaga dari bermulanya terbit fajar atau masuk waktu Subuh hingga ke tenggelamnya matahari atau waktu Maghrib.

Jadi ada segelintir orang yang mencuri makan dan minum ketika berpuasa dan mereka terus berpura-pura puasa hingga waktu berbuka.

Mereka mencuri minum air ketika waktu mandi atau di bilik air, atau mencuri makan pada waktu lain. Betapa ruginya bagi mereka yang menipu dan mencuri makan dan minum ketika berpuasa. 

3) Orang yang berpuasa tetapi tidak mendirikan solat

Ibarat rumah tanpa tiang, mereka berpuasa tapi mengabaikan ibadat solat fardhu. Puasa mereka hukumnya sah tetapi berdosa kerana meninggalkan solat.

Sikap mengambil ringan ini berbahaya kerana solatlah ibadat yang awal dihisab. Puasa hanya menjadi amalan untuk diet, elak rasa malu dan hanya menikmati suasana berbuka dan membeli belah di bazar Ramadan atau makan bufet di hotel.

4) Orang yang menganggap Ramadan sebagai bulan biasa

Orang yang menganggap tiada istimewanya Ramadan berbanding bulan lain adalah orang yang rugi. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk meningkatkan amal ibadat dan amal kebajikan di bulan Ramadan.

Malah mereka masih mengamalkan rutin dan cara hidup di bulan lain, di samping mengerjakan ibadat sebatas yang wajib semata-mata.

5) Orang yang menganggap Ramadan sebagai beban dan menyusahkan

Kehadiran bulan Ramadan dianggap sebagai membebankan dan menyusahkan bagi segelintir pihak. Bagi sebahagian besar umat Islam, kehadiran Ramadan adalah rahmat Ilahi.

Ia menjadi beban kepada mereka yang tidak berpuasa kerana sukar untuk mencari kedai makan, terpaksa menyorok jika mahu makan, berlakunya kesesakan lalu lintas dan bunyi bising di masjid atau surau yang mengganggu mereka.

Ruginya orang yang menganggap kehadiran Ramadan sebagai beban dan menyusahkan hidup mereka.

6) Orang yang menganggap Ramadan sebagai tradisi turun temurun

Bagi orang yang dilahirkan dalam Islam, segelintir daripada mereka menganggap kehadiran bulan Ramadan umpama tradisi tahunan semata-mata. Ramadan disambut sebagai tradisi tahunan.

Jadi mereka hanya menanti pesta makanan, kuih muih, pakaian baru, bermudik dan sebagainya tanpa menumpukan kepada amal ibadat dan amal saleh yang terdapat padanya. Rugi bagi mereka yang tidak merebut peluang utama yang hadir bersama bulan Ramadan. 

7) Orang yang hanya beramal di bulan Ramadan

Tarbiyah Ramadan menghasilkan insan yang konsisten dalam beribadah dan melakukan amal saleh. Jadilah hamba Allah yang rabbani dan jangan jadi hamba Ramadan.

Banyak amalan yang masih boleh diamalkan di luar Ramadan seperti qiyamullail, membaca al-Quran, menjamu orang makan, bersedekah dan seumpamanya. Rugi sekiranya ibadah yang intensif ketika Ramadan tidak dilanjuti pada bulan-bulan yang lain.

8) Orang yang masih melakukan maksiat

Orang yang mencemari bulan Ramadan dengan maksiat adalah orang yang rugi. Pada bulan Ramadan terdapat segelintir orang yang mencemarinya dengan perbuatan maksiat secara terbuka atau tertutup.

Terdapat mereka yang masih aktif dengan aktiviti malam, berzina, berjudi dan minum arak. Rugi mereka yang tidak merasai keberkatan bulan Ramadan dan masih berterusan dalam perbuatan maksiat dan mungkar. 

9) Orang yang membuang waktu

Masa sangat bernilai. Setiap detik yang berlalu tidak akan kembali. Apatah lagi kesempatan beramal di bulan Ramadan.

Rugi orang yang masih mempunyai kesempatan waktu tetapi membazirkannya secara sia-sia seperti melepak tanpa tujuan, merempit, menonton bahan yang tidak bermanfaat, serta kecanduan gajet dan ketagihan media sosial.

Sedangkan ramai orang yang masih bersama di bulan Ramadan tahun lepas, tetapi kini tiada lagi. Mereka tiada lagi kesempatan emas untuk beribadat dan amal saleh.

10) Orang yang melakukan pembaziran

Rasa lapar dan dahaga menyebabkan manusia hilang kawalan dan gagal mengawal hawa nafsu sehingga menyebabkan mereka boros dan membazir.

Ada yang menyediakan makanan berlebihan, ada yang membeli berlebihan di bazar Ramadan dan ada yang rambang mata ketika berbuka secara buffet.

Sedangkan membazir dan boros dilarang tegas oleh Syarak dan ia perbuatan yang merugikan.

11) Orang yang tidur sepanjang hari

Tidur merupakan nikmat yang besar kerana dapat merehatkan tubuh badan. Ia juga aktiviti yang dapat mengurangkan dosa.

Namun jika tidur berlebihan, ia dapat mengurangkan pahala kerana masa tidak diisikan dengan perkara yang bermanfaat di samping melewatkan solat fardhu.

Rugi jika orang yang menghabiskan bulan Ramadan dengan aktiviti tidur semata-mata. 

12) Orang yang tidak mengerjakan solat sunat terawih

Solat terawih merupakan sebahagian daripada ibadah malam. Ia hanya boleh diamalkan dalam bulan Ramadan sahaja. Allah SWT menawarkan ganjaran yang lumayan bagi mereka yang mengerjakannya.

Mensesiakan malam Ramadan tanpa mengerjakan solat sunat terawih adalah suatu yang merugikan kerana ia boleh dilaksanakan secara sendirian atau berjemaah dalam bilangan lapan atau 20 rakaat.

13) Orang yang tidak membaca al-Quran

Al-Quran merupakan mukjizat hebat yang masih dapat dilihat hingga hari ini. Ia merupakan kitab petunjuk bagi umat Islam. Membaca al-Quran adalah tuntutan bagi seorang Muslim.

Membaca al-Quran di bulan Ramadan digandakan pahala berlipat kali ganda. Walaupun begitu, masih ramai kalangan umat Islam yang masih tidak mengendahkan amalan membaca dan tadabbur ayat-ayat al-Quran.

14) Orang yang tidak berzikir dan berselawat

Berzikir dan berselawat ibarat makanan rohani. Ia perlu digandakan lagi dalam bulan puasa untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan seorang Muslim.

Ini disebabkan dengan mengingati Allah dan Rasulullah SAW, hati akan tenang serta jauh dari rasa gelisah dan keluh kesah. Mereka yang tidak berzikir dan berselawat termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

15) Orang yang tidak bersedekah

Bersedekah adalah amalan yang dituntut terutama ketika di bulan Ramadan. Orang yang bakhil dan kedekut membelanjakan wang untuk bersedekah termasuk kalangan golongan yang rugi.  

Di samping memperolehi pahala yang berlipatganda, bersedekah juga dapat membantu pelbagai golongan dalam masyarakat. 

16) Orang yang tidak berqiyamullail

Ramadan ibarat ladang pahala kerana pahala yang ditawarkan merangkumi amalan siang dan malam. Siangnya berpuasa dan malamnya dihidupkan dengan qiyamullail.

Bermula dengan solat Isyak dan terawih, diikuti dengan solat sunat yang lain serti tahajjud, taubat, membaca al-Quran.

Peluang ini ditawarkan dengan ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT. Rugi mereka yang berpuasa tetapi tidak menghidupkan malamnya.

17) Orang yang tidak mencari lailatulqadar

Dalam bulan Ramadan, terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Para ulama memberi pelbagai formula untuk mendapatkannya terutamanya malam-malam 10 akhir Ramadan.

Rugi orang yang tidak menghidupkan malam akhir Ramadan dengan amal ibadat dan amal saleh kerana malam al-qadar hanya hadir semalam sahaja dalam setahun dan gandaannya mencapai pahala selama 83 tahun beribadat. 

18) Orang yang tidak menjamu orang makan

Menjamu orang makan atau berbuka puasa menjanjikan pulangan pahala umpama orang yang berpuasa. Jamuan ini tidak semestinya dalam bentuk yang mahal atau banyak, boleh sahaja menjamu sekadar air atau kurma.

Rugi orang yang tidak ada inisiatif untuk menjamu orang lain berbuka kerana kelebihan fadilatnya tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut di samping ia dapat mengeratkan tali silaturrahim.

(Bersambung)

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan