
Jemaah yang dirahmati Ilahi,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segalabsuruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya, melipatgandakan amal kebaikan,mengikhlaskan diri melaksanakan ibadah, terutama pada hari-hari dan malam-malamterakhir Ramadan yang masih berbaki.
Mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk: RAMADAN BERAKHIR, SYAWAL MENJELMA
Firman Allah SWT, ayat 133 surah Ali-Imran:

Bermaksud: Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal kebaikan untuk) mendapatkan keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa.
Hari ini merupakan Jumaat terakhir Ramadan 1446 Hijrah. Kita kini berada di penghujung Ramadan. Mukmin yang menghidupkan Ramadan dengan penuh ketaatan dan amal kebaikan, pasti akan merasa hiba dan sayu kerana Ramadan bakal berakhir.
Berakhirnya Ramadan bermakna berakhirnya tempoh tawaran pelbagai keistimewaan, ganjaran pahala yang dilipatgandakan, juga peluang luas untuk kita mendapat keampunan.
Kita merasa hiba dan sayu apabila kita menginsafi bahawa Ramadan ini mungkin Ramadan terakhir dalam hayat kita, kerana kita tidak pasti sama ada kita masih dikurniakan usia untuk dapat bertemu Ramadan pada tahun hadapan.
Jemaah yang dilimpahi keberkatan Ramadan
Diambang berakhirnya Ramadan, mimbar membahagikan Mukmin kepada dua golongan untuk dijadikan pengajaran:
Pertama: Mukmin yang ikhlas memelihara dan melaksana kewajipan ibadah puasa serta ibadah-ibadah fardu yang lain, di samping mengerjakan pelbagai amalan kebaikan seperti menyambung silaturahim, bermaaf-maafan, bertarawih, bersedekah, membiayai iftar, bertadarus, beriktikaf, membaca al-Quran, beristighfar, bertahajud dan sebagainya.
Golongan ini insya-Allah akan keluar dari bulan Ramadan, menyambut Syawal dalam keadaan suci bersih, hati yang jernih, wajah yang ceria serta jiwa yang lapang.
Berkat ibadah puasa yang disempurnakan dengan tulus ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, dilengkapi taubat dan titisan air mata keinsafan yang mengalir pada sepertiga akhir malam, serta amal kebaikan yang dikerjakan; menjadikan Ramadan berjaya mendidik hawa nafsu, membakar dosa-dosa lalu, mendisiplinkan diri, melatih sifat-sifat mahmudah, sehingga merasakan seolah-olah dibuka lembaran hidup baharu untuknya dengan penampilan watak dan sahsiah yang lebih terpuji. Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kedua: Mukmin yang muflis (rugi) kerana semasa berlapar dan berdahaga pada siang hari, namun mereka tetap melakukan pelbagai maksiat, seperti meninggalkan solat fardu, tidak memelihara lidah daripada berkata keji, berdusta, mencerca, memfitnah; tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak mengawal pergaulan antara muhrim, dan terus melanggar perintah Allah dengan perbuatan pecah amanah, rasuah, menipu, mencuri, berjudi serta bersifat riak, bongkak, sombong dan zalim.
Golongan ini tidak berjaya memperoleh nikmat kebaikan Ramadan, malah tidak sedikit pun mendapat rahmat daripada lelahnya menahan lapar dan dahaga selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Banyak orang yang berpuasa namun tidak mendapat apa pun daripada puasanya selain lapar dan dahaga. Dan banyak orang yang bersolat malam namun tidak mendapat apa pun daripada solatnya selain lelah dan berjaga malam.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Ayat 33 surah Ali-Imran yang khatib baca pada awal khutbah memerintahkan kita untuk bersegera melakukan amalan kebaikan agar mendapat keampunan Allah SWT.
Oleh itu, sebelum Ramadan melabuh tirai, marilah kita bersungguh-sungguh
memanfaatkan Ramadan yang masih berbaki dengan meningkatkan amal ibadah.
Ditakdirkan, Ramadan ini merupakan Ramadan terakhir bagi kita, alangkah ruginya, jika kita mensia-siakan peluang untuk mendapat ihsan keampunan Ilahi. Sabda Nabi SAW:

Bermaksud: Amat rugilah orang yang memasuki bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu, sedangkan dia tidak mendapat pengampunan Allah. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Semoga Ramadan kali ini berupaya menjadikan kita hamba Allah bertakwa, diampuni segala dosa, dilimpahi rahmat kehidupan dunia dan akhirat.
Jemaah yang dilimpahi fadilat Ramadan,
Tertakluk kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidilfitri pada hari Isnin 31 Mac.
Dalam suasana menyambut dan meraikan Aidilfitri, mimbar menitipkan beberapa adab dan saranan:
Pertama: Syawal hendaklah disambut dengan memperteguh amalan-amalan sunnah Aidilfitri. Bermula dengan melakukan sebanyak-banyak takbir pada malam 1 Syawal, diiringi mandi sunat Aidilfitri pada paginya.
Menyarungkan pakaian baharu bagi yang mampu, namun jika tidak mampu membeli pakaian baharu, pilih pakaian terbaik yang sedia dimiliki untuk memenuhi sunah berhias pada hari raya.
Kedua: Aidilfitri disambut berpandukan syariat dan dalam semangat membudayakan adat resam; dirayakan secara sederhana dan jauhi pembaziran.
Menjauhi sifat-sifat keji seperti bermegah-megah atau bersifat riak mahu menunjukkan kelebihan diri, sama ada ketika berpakaian, atau menghidangkan juadah, atau menghiasi rumah.
Ketiga: Menjaga adab dan kesopanan, ketika memperagakan pakaian dan perhiasan diri, dengan mengamalkan sifat bersyukur lagi merendah diri, mengamalkan sifat insani, bermurah hati menggembirakan warga kurang berkemampuan dengan menghulurkan bantuan berbentuk pakaian, makanan dan wang ringgit menjelang Aidilfitri.
Keempat: Disunatkan menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat Aidilfitri, disunatkan memilih laluan yang berbeza bagi perjalanan pergi ke masjid dan pulang dari masjid, bertujuan dapat bertemu lebih ramai jiran dan rakan taulan untuk bersilaturahim.
Kelima: Dituntut merancang amalan ziarah bagi memuliakan ibu bapa, mertua, saudarasaudara tua, adik beradik dan sanak saudara serta menggembirakan hati mereka dengan pemberian sedekah dan hadiah.
Keenam: Mengawal, mengawasi malah mencegah anak-anak daripada bermain bahan-bahan api untuk mengelakkan berlaku kemalangan.
Ketujuh: Merancang perjalanan dengan selamat. Membuat pemeriksaan kenderaan agar pemanduan berlangsung lancar; menggunakan jalan raya secara berhemah bersabar dan bertimbang rasa, demi keselamatan diri kita, penumpang dalam kenderaan yang kita pandu, demikian juga keselamatan pengguna lain.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak (28 Mac 2025)

