MALAYSIA perlu menjadikan kesiapsiagaan menghadapi bencana sebagai satu budaya nasional yang diterapkan dalam kehidupan seharian rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, semangat kesiapsiagaan itu bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu digembleng secara menyeluruh melibatkan kepimpinan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di semua peringkat.
“Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional bukan sekadar simbolik tahunan, tetapi isyarat nasional bahawa kesiapsiagaan mesti menjadi budaya rakyat Malaysia.
Ia menuntut kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin dan komuniti bagi memastikan setiap lapisan masyarakat benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 dan ulang tahun ke-10 penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jerantut, Pahang hari ini.
Menurut Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, penubuhan NADMA sedekad lalu merupakan antara langkah penting ke arah membentuk sistem pengurusan bencana yang tersusun dan bersepadu di negara ini.
“Ketika saya mengilhamkan penubuhan NADMA 10 tahun lalu, matlamatnya adalah agar Malaysia mempunyai sistem pengurusan bencana yang tangkas dan bersepadu.
Alhamdulillah, matlamat itu kini berjaya direalisasikan dan NADMA telah menjadi tulang belakang kesiapsiagaan negara,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan pembinaan Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di Daerah Jerantut sebagai sebahagian strategi jangka panjang kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.
Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan demonstrasi oleh pelbagai agensi tindak balas yang mempamerkan ketangkasan anggota serta keupayaan aset penyelamatan.
“Aksi pantas dan berdisiplin mereka mencerminkan kesiapsiagaan sebenar yang menjadi benteng pertama negara ketika bencana melanda,” katanya lagi.
Zahid menegaskan, kerajaan melalui NADMA akan terus memperkukuh inisiatif pengurusan bencana bagi memastikan Malaysia kekal kuat, bersatu dan sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. — Edisi 9

