ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat berpeluang melanjutkan pengajian menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu dapat direalisasikan selepas UPNM menerima sijil APEL.C yang membolehkan penawaran program menerusi laluan pemindahan kredit untuk calon pelajar mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) berdasarkan pengalaman lampau.
Beliau berkata, penawaran itu akan memperluas akses dalam kalangan masyarakat untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing terutama buat mereka yang tidak berpeluang untuk melakukannya sebelum ini atas sebab tertentu seperti kekangan masa atau kewangan.
Dengan adanya APEL.C, katanya, calon pelajar dapat mengurangkan tempoh pengajian selain dapat penjimatan, justeru diharap warga ATM dan masyarakat umum merebut peluang keemasan itu untuk meingkatkan kelayakan akademik masing-masing.
“Usaha UPNM ini selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang sering diuar-uarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selain menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
“Ini seterusnya sedikit sebanyak akan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat seperti dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil APEL.C kepada Naib Canselor UPNM, Lt. Jen Datuk Hasagaya Abdullah, di Mercu MQA, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa UPNM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi; Pendaftar UPNM, Fazielah Mohamad; Pengarah Kanan Pejabat TNC Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Norhasni Zainal Abiddin; Pengarah Pusat PSH UPNM, Dr. Nor Azliana Akmal Jamaludin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti MQA, Nenney Shahriza Samsuddin.
Sementara itu, Hasagaya berkata, dengan adanya sijil APEL.C itu diharap UPNM akan menjadi universiti pilihan buat warga ATM khasnya dan masyarakat umum amnya untuk melanjutkan pengajian terutama program yang menjadi kebitaraan universiti itu.
“Sebelum ini kami sudah mempunyai sijil APEL. A (akses kemasukan ke institusi pendidikan tinggi), justeru diharap laluan fleksibel ini akan mampu menarik minat lebih ramai pelajar untuk menyambung pengajian di UPNM,” katanya. – Edisi 9