34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

ATM buka hospital medan di Turkiye – Mohamad

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PASUKAN Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerak ke Turkiye awal pagi esok bagi menyediakan kemudahan hospital medan susulan gempa bumi yang melanda negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seramai 106 anggota tentera termasuk 41 doktor akan digerak ke negara itu selain kelengkapan termasuk tiga dewan mudah alih yang digunakan untuk kecemasan dan satu dewan bedah mudah alih.

Ujar beliau, ATM telah mendapat permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai perkara berkenaan.

“Setelah berunding dengan Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur, kita mengambil keputusan untuk mengerakkan pasukan berkenaan. Hospital medan berkenaan akan beroperasi selama enam minggu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kem Lok Kawi (Markas 5 Briged) di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Jelas Mohamad lagi, peralatan hospital itu akan dihantar secara berperingkat dan hospital berkenaan adalah sama seperti fasiliti hospital medan yang pernah diwujudkan ATM ketika berdepan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Menurut beliau, pihaknya masih belum mengetahui lokasi hospital medan itu kerana bencana tersebut melibatkan kawasan yang luas dan menyerahkan kepada kerajaan Turkiye untuk menentukan kawasan sesuai bagi mendirikan hospital medan.

“Apa yang penting kita mahu semua pasukan yang dihantar ke sana dapat menyelesaikan misi dengan selamat. Kita tahu bahawa akan ada gegaran susulan oleh itu, mereka kena berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatan kerja ke Sabah, Mohamad berkata ia bagi meninjau fasiliti dan kemudahan Kem Tentera di Pantai Barat Sabah selain keadaan pengoperasian dan kesiapsiagaan ATM serta warga kerja Kementerian Pertahanan.

“Saya telah melawat pangkalan Armada Timur di Sepanggar dan saya berpuas hati dengan pengoperasian mereka. Pangkalan itu agak baharu dan tiada masalah dari segi bangunan namun ada sedikit masalah kelewatan peruntukan untuk menyelenggara aset dan itu kita akan selesaikan dengan segera.

“Saya juga mengadakan lawatan di Kem Lok Kawi dan kita sedia maklum kem ini sudah lama dan banyak masalah yang timbul khususnya dari segi infrastruktur. Jadi kita akan berusaha menaik taraf apa-apa yang telah usang kerana kita mahu anggota dan pegawai yang bertugas selesa,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan