36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPM siasat dakwaan guru minta murid tukar agama

KPM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak PDRM sekiranya terdapat laporan polis dibuat mengenai isu tersebut

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan siasatan awal bagi mendapatkan kesahihan maklumat berkaitan dakwaan guru yang meminta murid untuk menukar agama.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata, siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan persendaan kaum atau agama.

“KPM merujuk kepada video sidang media yang tular di Facebook pada 8 Februari 2023 berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama.

“KPM telah mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung kenyataan video tular tersebut.

“Siasatan awal telah dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut KPM, pihaknya memandang serius terhadap isu yang dilaporkan ini dan menegaskan bahawa hal agama tidak boleh dijadikan persendaan yang boleh menggugat keharmoniaan kaum dan negara.

“Pada masa yang sama, KPM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat laporan polis dibuat mengenai isu tersebut,” katanya.

Ujar kenyataan itu, KPM tidak akan berkrompomi dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan sekolah khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama.

Media sebelum ini melaporkan seorang guru didakwa menggalakkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk memeluk Islam, dengan mendakwa ia akan meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Dakwaan itu dibuat ibu bapa pelajar terbabit ekoran mesej dalam kumpulan Whatsapp kelas yang dibuat oleh guru terbabit.

“Apabila saya meneliti mesej itu, saya perasan bahawa cikgu tersebut beritahu anak saya sekiranya dia ingin menyertai pasukan kebangsaan, dia perlu beragama Islam.

“Dia kemudian menggalakkan anak saya menukar agama malah mencadangkan nama Islam.

“Apa yang paling membingungkan saya ialah guru itu berkata hanya orang Islam dibenarkan masuk ke stadium di Malaysia,” kata ibu pelajar terbabit seperti dilapor Malaysiakini.

Menurut Vasan, dia dan suaminya cuba menghubungi guru berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai mesej tersebut namun dia telah menyekat nombor mereka.

Vasan mendakwa anaknya mendedahkan bahawa guru itu telah bercakap kepadanya tentang Islam sejak enam bulan lalu. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan