Tuesday, July 21, 2026

SPRM tolak dakwaan tak berasas, tegas siasatan bebas, telus

Sebarang dakwaan atau andaian kononnya siasatan yang dijalankan dipengaruhi kepentingan peribadi adalah tidak benar dan ditolak sama sekali.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas yang disiarkan oleh sebuah media antarabangsa yang disifatkan sebagai berniat jahat serta cuba mencemarkan reputasi agensi berkenaan.

SPRM menegaskan, pihaknya tidak akan mengulas dakwaan berbentuk tohmahan dan spekulatif, khususnya yang melibatkan perkara masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Menurut kenyataan itu, sebarang dakwaan atau andaian kononnya siasatan yang dijalankan dipengaruhi kepentingan peribadi adalah tidak benar dan ditolak sama sekali.

“Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

SPRM turut menjelaskan, sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman negara, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas kerangka perundangan Malaysia.

Dalam pada itu, SPRM menegaskan bahawa fungsi dan peranannya diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan tertakluk kepada pemantauan lima badan bebas bagi memastikan integriti serta ketelusan pelaksanaan tugas.

“Sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya perlu dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya menyalurkan maklumat melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang. 

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki didakwa memiliki 17.7 juta saham syarikat Velocity Capital Partner Bhd. yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000.

Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak Azam digantung tugas sehingga siasatan terhadap beliau berhubung dakwaan itu selesai. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan