24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Lelaki tikam pesakit di Hospital Selayang diarah jalani psikiatri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di Hospital Selayang dua minggu lalu, diarah menjalani pemeriksaan psikiatri (mental) oleh Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd. Khairul Kamul, 22, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri berikutan keadaan mental tertuduh tidak stabil.

“Pihak pendakwaan membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh adalah tidak stabil.

“Sebelum ini tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Selayang sejak 15 Februari 2023,” kata Wan Nur Iman.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul didakwa telah sengaja mendatangkan cedera parah terhadap V. Satish Rao, 29, di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang pukul 3.45 petang pada 14 Februari lalu.

Advertisements

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Semasa prosiding selepas pertuduhan dibacakan tertuduh hanya mengangguk tanda faham, namun tidak menyatakan sebarang pengakuan. Sebaliknya tertuduh hanya mengatakan dia berhalusinasi ketika kejadian.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Bagaimanapun, tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Sebutan semula kes pada 29 Mac ini untuk laporan psiakitri tertuduh. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan